
Hasmiza, 51, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi YouTube “DSV Entertainment” dengan niat menyakiti hati orang lain pada 29 April.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama. Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala Hasmiza diwakili peguam Adnan Seman.
Fazril Sani memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000, namun Adnan memohon agar mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM2,000 kerana ia kesalahan pertama Hasmiza.
Hakim Ahmad Fuad Othman kemudiannya membenarkan Hasmiza diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula.
Media sebelum ini melaporkan, Vida dikatakan memuat naik video bertajuk “Muah Muah Raya” yang dipercayai memaparkan kumpulan penari “drag queen” sekali gus menyebabkan beliau terpalit dengan isu cuba mempromosi elemen LGBT.
Ketika ditemui pemberita selepas proses membayar jaminan selesai, Hasmiza berkata, dia dan peguamnya akan meneliti aspek kesalahan yang dibuat dalam video yang dimuat naik itu.
“Saya tidak boleh mengaku salah begitu sahaja kerana ia beri impak kepada perniagaan. Saya hadir ke mahkamah atas dasar komitmen dan tanggungjawab,” katanya.
Hasmiza hadir ke mahkamah hari ini dengan ditemani anaknya Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, atau lebih dikenali sebagai Cik B.