
Beliau berkata, timbalan presiden PKR itu licik “berselindung” ketika melemparkan tuduhan dengan memetik sumber dalaman, selain sering menyebut “saya difahamkan” dan “saya dimaklumkan” demi melindunginya dirinya daripada dikenakan tindakan perundangan.
“Dia (Rafizi) berselindung di sebalik (kata) ‘saya difahamkan’, ‘saya dimaklumkan’, ‘ada pihak yang beritahu’, ini kalimah-kalimah dari segi perundangan yang tak boleh diambil tindakan undang-undang.
“Tapi, mungkin ada aspek-aspek lain yang kita kena tengok. Tapi saya nak tegaskan bahawa fitnah ini tak betul, sebab itu saya minta supaya kalau ada kes ada bukti, ‘reportlah’. Jangan buat fitnah musim ini.
“Mungkin dia (Rafizi) tak sebut secara direct. Cuma dia kata ada pihak-pihak tertentu cuba desak menteri untuk lulus. Pihak mana? Kalau ada pihak nak suruh desak, tak pernah jumpa pun saya, untuk desak,” katanya menurut Berita Harian.
Timbalan presiden PAS itu berkata demikian sebagai mengulas tuduhan dibuat Rafizi yang mendakwa kementerian itu dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno.
Rafizi mendakwa dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu, beliau menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara, kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.
Tuan Ibrahim menjelaskan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.
“Nak saya tegaskan. Saya tak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan. Dan saya nak tegaskan tidak ada mana-mana pihak yang datang jumpa saya minta lulus RM2 bilion, yang bukan sikit,” katanya.
Beliau memaklumkan, selepas Parlimen dibubarkan, beliau hanya terbabit tiga program kementerian, iaitu pertama menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Negara di Kuantan yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong.
“Keduanya, menghadiri dan merasmikan Karnival Kementerian Alam Sekitar dan Air di Kubang Kerian, dan ketiga, menghadiri majlis meraikan kakitangan kementerian yang berpencen atau bertukar ke kementerian lain.
“Tiga program yang saya hadir. Dan tidak ada sebarang tandatangan mana-mana surat yang luluskan mana-mana projek,” katanya.
Justeru katanya, beliau juga sudah meminta peguamnya meneliti aspek undang-undang bagi tindakan seterusnya ke atas Rafizi.