Calon, parti langgar etika pilihan raya, Bersih beri amaran

Calon, parti langgar etika pilihan raya, Bersih beri amaran

Menurut Bersih, antara kesalahan termasuk program pemberian minyak dan menukar minyak hitam motosikal secara percuma oleh parti politik di beberapa kawasan DUN dan Parlimen.

Bersih mengingatkan calon pilihan raya berkempen secara bersih, bebas, dan adil dalam mengambil hati rakyat.
PETALING JAYA:
Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih memberi amaran kepada calon pilihan raya umum (PRU15) pelbagai parti politik supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh dianggap kesalahan pilihan raya serta tidak menepati etika berkempen.

Menurutnya, wujud menteri sementara yang menyalahgunakan jentera kerajaan dan melanggar konvensyen amalan kerajaan sementara selepas pembubaran Parlimen dan DUN.

“Calon-calon pilihan raya diingatkan untuk berkempen secara bersih, bebas, dan adil dalam mengambil hati rakyat untuk mengundi mereka,” menurut kenyataan.

Katanya, antara kesalahan tersebut adalah program pemberian minyak dan menukar minyak hitam motosikal secara percuma oleh Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Pakatan Harapan (PH) di beberapa kawasan DUN dan Parlimen.

“Sebagai contoh pada 4 November, Pemuda PH Alor Gajah telah mengadakan program tukar minyak hitam percuma di Taman Vista Belimbing. Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said juga pernah mengadakan program sama pada 21 Oktober.

“Aktiviti ini boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, menurut Bersih, DAP Pulau Pinang juga dikesan melancarkan program subsidi untuk pulang mengundi, namun telah menutup akses kepada pautan permohonan.

“Sekiranya DAP Pulau Pinang atau mana-mana parti politik yang mengadakan program serupa, mereka boleh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10 dan Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Pihak kami juga mendapati calon PH di Parlimen Klang, V Ganabatirau akan mengadakan program Deepavali dan poster program tersebut menyatakan akan terdapat cabutan bertuah yang melanggar Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya,” tambahnya.

Katanya lagi, PN Muar juga dikesan akan menganjurkan satu karnival dengan memberikan cabutan bertuah, gunting rambut percuma, pemberian minyak hitam percuma dan hadiah berupa wang tunai bagi beberapa pertandingan.

Bersih turut menegur calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin kerana menghadiri Majlis Penyerahan Peranti Komuniti di Pusat Ekonomi Digital bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Sementara, Annuar Musa.

“Kehadiran beliau boleh dianggap sebagai menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

“Sebelum ini Bersih telah menempelak Ismail Sabri yang mengumumkan penghapusan hutang Felcra walaupun beliau hanya perdana menteri sementara,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.