Bapa calon muncul di pentas Warisan, laung ‘hidup GRS’

Bapa calon muncul di pentas Warisan, laung ‘hidup GRS’

Beberapa video kejadian yang dikatakan berlaku di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, tular di media sosial sejak petang tadi.

Video kejadian yang dikatakan berlaku di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, Sandakan, tular di media sosial sejak petang tadi.
KOTA KINABALU:
Program ceramah Warisan di Batu Sapi, Sandakan, hari ini, kecoh selepas seorang lelaki dipercayai bapa kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Khairul Firdaus Akbar Khan muncul di atas pentas di hadapan Shafie Apdal.

Beberapa video kejadian yang dikatakan berlaku di Kampung Sundang Laut, Batu Sapi, turut tular di media sosial sejak petang tadi.

Salah satu video yang berdurasi 1 minit 36 saat menunjukkan seorang lelaki daripada Warisan melaungkan “undi Warisan” namun kemudian seorang lagi lelaki yang berada di sebelahnya melaungkan “hidup GRS”.

Shafie yang juga presiden Warisan bersama calon parti itu di Batu Sapi, Alias Sani turut kelihatan dalam video berkenaan.

Sementara itu, Khairul dalam satu kenyataan menafikan kekecohan berlaku di program berkenaan.

Katanya, dakwaan kekecohan itu hanya sentimen politik yang dimainkan pihak tertentu.

“Tidak ada kekecohan pun sebenarnya. Hanya permainan sentimen yang dijadikan isu. Saya harap kita berkempen dan mendekati rakyat secara aman dan telus.

“Usah dibangkitkan unsur atau elemen sentimen yang sensitif dan mampu mengguris mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, hubungan baik bapanya bersama Shafie juga terjalin sejak awal dan tidak bermusuh.

“Hubungan persahabatan ayah saya bersama Shafie sudah terjalin dan umpama keluarga. Tidak ada niat untuk bermusuh kerana sudah berkenalan lama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.