Anwar, Azizah isytihar harta hari ini

Anwar, Azizah isytihar harta hari ini

Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR Rodziah Ismail memaklumkan kelewatan mereka berbuat demikian disebabkan kekangan masa.

AMPANG:
Presiden PKR Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail akan mengisytiharkan harta mereka hari ini kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR Rodziah Ismail.

Rodziah berkata, dia telah menghubungi Anwar berhubung perkara itu kerana rakyat “tertunggu-tunggu’ sambil menambah kelewatan itu disebabkan kekangan masa yang dihadapi.

“Saya antara yang bertanggungjawab pastikan semua calon hantar pengisytiharan mereka.

“Deklarasi tu penting sebab kita dah janji dengan rakyat nak tunjuk. (Jadi) selesai pengundian nanti, mereka dah selesai isytiharkan harta mereka,” katanya kepada pemberita selepas “walkabout” di Ampang.

Rodziah berkata, selain Anwar, 13 calon lain juga akan mengisytiharkan harta mereka dan ia akan dimuat naik menerusi laman web calonekadilan.org.

Semua calon PKR dikehendaki mengisytiharkan harta mereka kepada parti, tetapi keputusan untuk menerbitkannya tidak pernah berlaku sebelum ini.

Melalui semakan, pengisytiharan harta Anwar dan Wan Azizah berada dalam status “akan dikemaskini” di laman web parti itu.

Calon Sungai Buloh, R Ramanan, mengisytiharkan RM63.5 juta dalam aset bersih, termasuk RM4 juta dalam bentuk barang kemas, RM27 juta dalam “kediaman”, RM8.5 juta dalam kereta dan motosikal dan RM3.5 juta dalam saham dan skim pelaburan insurans.

Bagaimanapun, beliau mengelak daripada memberikan butiran aset, liabiliti dan perbelanjaannya, sebaliknya memberikan angka penuh.

Ditanya berkaitan tindakan Ramanan yang tidak memperincikan jumlah RM63.5 juta Rodziah berkata naib ketua penerangan PKR itu akan berbuat demikian dan mempamerkan di laman sesawang PKR.

“Untuk Ramanan, dia banyak halaman dia. Kita minta dia perincikan dan pamerkan juga. Saya kata calon kami ada yang negatif (kewangan), sederhana, ada yang lebih RM100 juta,” katanya.

Rodziah turut menambah mana-mana calon yang ‘masuk gelanggang’ perlu sedia mengisytiharkan harta mereka.

K”alau saya orang tanya dah tiga penggal, orang ingat saya kaya ke, sekarang orang tengok berapa jumlah kewangan yang saya ada, aset saya.

“Kita akan ‘keep track’, setahun dua tahun bagaimana aset itu mereka uruskan, saya sebut tadi. Bukan kaya miskin, kita berprinsip. Kita ada nilai yang kita nak tunjukkan, tak malu isytihar kedudukan kewangan kita sama ada kita berduit atau tidak berduit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.