Umno gugur keahlian Shahidan, Zahidi dan 2 yang lain

Umno gugur keahlian Shahidan, Zahidi dan 2 yang lain

Pengguguran keahlian itu dibuat selepas pemimpin terbabit didapati mencalonkan diri bertanding mewakili parti lain pada PRU15.

Umno menggugurkan keahlian Shahidan Kassim, Zahidi Zainul Abidin dan Ismail Abdul Muttalib.
PETALING JAYA:
Umno menggugurkan keahlian empat pemimpinnya selepas bertanding mewakili parti lawan pada PRU15.

Mereka adalah Zahidi Zainul Abidin, Shahidan Kassim, Ismail Abdul Muttalib dan Azhar Ahmad.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata pengguguran keahlian empat pemimpin terbabit selaras Fasal 20.11 Perlembagaan Umno.

Beliau berkata, fasal itu dengan jelas menyebut “seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan gugur keahlian dengan sendirinya”.

Katanya, dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat Umno Bahagian akan dipangku oleh timbalan ketua Umno Bahagian yang berkenaan.

“Umno juga ingin menegaskan, beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.