Saya ikut jejak Karpal Singh jika dipilih, kata Deepak

Saya ikut jejak Karpal Singh jika dipilih, kata Deepak

Deepak Jaikishan berkata beliau mahu menjadi Ahli Parlimen yang berani dan bersuara tanpa rasa takut di Dewan Rakyat seperti mendiang Karpal Singh.

Deepak Jaikishan adalah calon bebas yang bertanding merebut kerusi Parlimen Klang pada pilihan raya umum ke-15.
PETALING JAYA:
Deepak Jaikishan mahu mengikut jejak langkah mendiang Karpal Singh dan menyuarakan pendapat tanpa rasa takut atau kepentingan sesiapa di Dewan Rakyat jika terpilih.

Ahli perniagaan itu bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Klang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Deepak dikenali sebagai rakan baik sebelum menjadi musuh bekas perdana menteri, Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Katanya, kerelaannya berdepan pasangan terbabit walaupun ketika itu Najib masih berkuasa menunjukkan tiada apa yang boleh menghalangnya.

Deepak berkata, pengundi perlu tahu, semua tuduhan yang dibuatnya terhadap Najib dan Rosmah tidak pernah dinafikan oleh pasangan itu.

Katanya, beliau sudah terlibat dengan beberapa tindakan undang-undang dengan bekas perdana menteri itu dan isterinya sejak 12 tahun lalu.

“Saya memberi jaminan kepada pengundi Klang, sekiranya dipilih nanti saya akan menjadi Ahli Parlimen paling berani dan paling bersuara seperti mendiang Karpal Singh.

“Saya tidak akan tunduk pada sesiapa kecuali Tuhan. Saya juga tahu dalam perjuangan saya menentang rasuah dan kleptokrasi, saya tidak berseorangan, semua rakyat Malaysia bersama saya,” katanya kepada wartawan.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih bertanding di Klang, Deepak berkata, beliau sangat mahu menentang rasuah yang merosakkan negara dan beliau juga mendapat inspirasi daripada amaran Sultan Selangor baru-baru ini bahawa ahli politik yang mahukan kuasa dan kekayaan akan merosakkan negara.

Dalam kenyataan di Facebook Pejabat Sultan Selangor pada 21 Okt lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan terjerumus ke dalam amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah yang mengakibatkan kerosakan negara.

“Beta ingin menegaskan bahawa pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri pasti akan dibenci oleh rakyat dan dikutuk oleh Allah kerana boleh menjahanamkan negara,” titah baginda.

Deepak juga menyentuh mengenai isu Ahli Parlimen perlu mengikut arahan parti walaupun mereka tidak bersetuju dengan tindakan pemimpinnya.

“Perlu lebih ramai Ahli Parlimen yang sanggup bercakap mengenai kesalahan dilakukan oleh mereka yang berkuasa walaupun bakal dikenakan tindakan,” katanya.

Apabila ditanya adakah beliau mampu berkhidmat kepada penduduk Klang sekiranya menang PRU15, Deepak berkata, beliau akan melancarkan manifestonya pada Khamis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.