
Pengerusi PH itu berkata, beliau juga akan memotong gaji dan elaun sebagai perdana menteri, serta mengarahkan menteri berbuat demikian.
“Katakanlah, 20 Nov saya angkat sumpah sebagai perdana menteri, saya tak akan seronok pakai samping ke apa. Saya nak yang pertama, rakyat tengok ini betul pemimpin kita, gaji perdana menteri tolak, gaji menteri dikurangkan.
“Anak, bini, menantu aku jangan sentuh projek kerajaan, itu diharamkan. Macam saya jadi menteri kewangan dulu, mana ada dapat tanah, saham, balak? Satu pun tidak ada, sebab itu saya berani cakap,”katanya semasa berucap dalam program santai di perkampungan nelayan Lereh.
Beliau yang bertanding di Parlimen Tambun berkata, sekiranya PH berjaya menawan kembali Putrajaya, jumlah anggota Kabinet akan dikurangkan.
“Ini bukan soal Anwar nak jadi perdana menteri, ini nak jamin masa depan orang susah, termasuk nelayan.
“Kalau ganti perdana menteri dan kerajaan, perangai sama, baik tak payah ganti kerajaan. Ini tukar perdana menteri, nelayan dapat apa?” soalnya
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar merupakan calon perdana menteri sekiranya PH berjaya memenangi PRU15.
Agenda LGBT, komunis
Dalam perkembangan lain, Anwar menyangkal dakwaan PH dan parti komponennya, DAP masing-masing membawa agenda LGBT serta komunis.
Beliau menyifatkan dakwaan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria itu palsu dan fitnah demi mewujudkan persepsi negatif terhadap PH pada PRU15.
Sebelum ini, tular video 1 minit 24 saat menunjukkan Razman yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semanggol dalam ucapannya berkata, sekiranya orang Melayu menyokong PH, seolah-olah mereka menjadi tangan yang menyerahkan negeri kepada DAP yang diketuai Anwar dan Lim Kit Siang.
Razman turut mendakwa Anwar mahu membawa agenda LGBT dalam negara ini yang membolehkan perkahwinan sejenis.