‘Ismail tetap calon PM’, BN tegas tolak dakwaan parti lawan

‘Ismail tetap calon PM’, BN tegas tolak dakwaan parti lawan

Pemimpin BN rata-rata menyatakan bahawa Ismail Sabri Yaakob tetap calon PM mereka.

BN menolak dakwaan lawannya bahawa satu undi untuk gabungan itu adalah satu undi untuk Ahmad Zahid Hamidi menjadi perdana menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Baru dua hari kempen pilihan raya berlangsung, pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah pun mempunyai tugasan mencabar.

Mesej utama gabungan itu kepada pengundi adalah menjanjikan kestabilan dan kemakmuran, yang antara lain termasuk mengekalkan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.

Bagaimanapun, parti lawan BN mendakwa gabungan itu mungkin tidak akan mengotakan janji mereka sekalipun memenangi pilihan raya, malah menguar-uarkan satu undian untuk BN adalah satu undi untuk pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi menjadi perdana menteri.

Beberapa pemimpin BN malah Zahid sendiri telah menjawab dakwaan itu, dengan menegaskan bahawa gabungan berkenaan jelas mengenai siapa calon perdana menteri mereka. Dalam sidang media hari ini, Zahid dipetik berkata: “Buktinya anda boleh lihat poster dan papan iklan beliau di mana-mana termasuk di Bagan Datuk” (di mana Zahid bertanding untuk mempertahankan kerusinya bagi penggal keenam).

Zahid berkata, Ismail yang juga naib presiden Umno, merupakan calon tunggal BN untuk jawatan itu.

Pemimpin BN lain termasuk Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan; Presiden MIC SA Vigneswaran; Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid; Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan; dan calon BN bagi Kuala Krau, Ismail Mohamed Said; turut menolak dakwaan bahawa gabungan itu mempunyai perancangan untuk calon lain sebagai perdana menteri.

Mohamad yang bertanding di Rembau menyifatkan dakwaan bahawa Zahid akan menggantikan Ismail sebagai satu propaganda pembangkang untuk memperdayakan rakyat, yang jelas menunjukkan mereka terdesak.

Vigneswaran dipetik media berkata, pembangkang sengaja cuba membangkitkan sesuatu yang bukannya isu, malah “tiada naratif lain untuk mengelirukan rakyat. Pembangkang hilang modal dan berterusan menyebarkan cerita bohong untuk menang sekali lagi, itu saja”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.