Ganabatirau janji selesai masalah banjir

Ganabatirau janji selesai masalah banjir

Calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Klang itu berikrar untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bertanggungjawab bagi menangani masalah banjir di kawasan terbabit.

Klang antara kawasan yang terjejas banjir yang melanda Semenanjung, penghujung tahun lalu. (Gambar Bernama)
KLANG:
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Klang, V Ganabatirau, berikrar menyelesaikan isu banjir yang membelenggu kawasan itu, pada pelancaran kempennya, malam tadi.

Walaupun hujan renyai, kira-kira 100 hadirin kekal berkumpul di gelanggang bola keranjang, di Taman Eng Ann, untuk mendengar ucapannya berhubung perubahan yang ingin dibawa sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Klang.

“Saya tahu kebimbangan besar orang Klang adalah banjir dan ia difahami. Sekarang kita lebih banyak terdedah kepada bencana itu,” katanya.

Beliau menyebut semula amarannya sebelum ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung risiko banjir dan bertanyakan mereka mengenai rancangan tebatan banjir.

Ganabatirau yang juga ADUN Kota Kemuning, berkata sekiranya Taman Eng Ann berdepan isu perparitan, ia penting untuk ditangani bersama ahli majlis, ADUN dan Ahli Parlimen demi mencari jalan penyelesaian.

“Itulah cara kami bekerja (sekiranya dipilih). Sekiranya, kami tidak mampu menyelesaikan isu asas, apa guna menjadi Ahli Parlimen atau ADUN?” katanya sambil diiringi sorakan hadirin.

“Isu ini akan saya bangkitkan di Parlimen.”

Ganabatirau menggantikan bekas Ahli Parlimen Klang selama tiga penggal, Charles Santiago.

Dalam pada itu, beliau yang juga exco kerajaan negeri selama dua penggal, menggesa pengundi keluar pada 19 Nov dan memilih parti yang menekankan berhubung nasib rakyat.

“Kita tidak mahu (kerajaan membuat) janji palsu. Kita perlu peruntukan besar dan pelan konkrit untuk selesaikan isu ini,” katanya.

ADUN Sekinchan Ng Suee Lim, ADUN Balakong Wong Siew Ki, ADUN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Hari dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng antara pemimpin yang berucap pada ceramah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.