PM perlu jelaskan kenapa buat PRU ketika tengkujuh, kata Gobind

PM perlu jelaskan kenapa buat PRU ketika tengkujuh, kata Gobind

Timbalan pengerusi DAP itu mahukan penjelasan susulan kenyataan Ismail Sabri Yaakob yang akan berbincang SPR sekiranya banjir besar melanda negara ketika pilihan raya.

Gobind Singh Deo mahu Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kepada rakyat keperluan mengadakan PRU ketika musim tengkujuh.
BANGI:
Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo mahu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kepada rakyat keputusan untuk mengadakan pilihan raya umum ketika musim tengkujuh.

Gobind yang juga calon PH Parlimen Puchong menggesa penjelasan itu susulan kenyataan naib presiden Umno itu sebelum ini yang mahu berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya banjir besar melanda negara ketika pilihan raya.

Katanya, kenyataan Ismail itu mmembangkitkan persoalan mengapa keputusan untuk mengadakan PRU tidak dibincangkan dengan pihak SPR sebelum ini.

“Bila ada banjir semua rumah orang rosak.

“Tapi dia mahu buat pilihan raya kerana dia mahu jadi PM (perdana menteri). Siapa PM dia? Zahid Hamidi bukan?,” katanya pada Majlis Makan Malam Pilihan Raya DAP Bangi.

Media sebelum melaporkan, Ismail berkata pihaknya akan berbincang dengan pihak SPR sekiranya berlaku banjir besar yang menghalang pengundi daripada menunaikan tanggungjawab mereka.

Dalam perkembangan lain, Gobind juga turut menempelak bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin atas keputusannya untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional bersama-sama dengan Umno pada 2020.

Katanya, keputusan bekas perdana menteri itu disifatkan bertentangan dengan kehendak rakyat yang keluar mengundi pada PRU 2018 dengan menolak kerajaan BN sebelum itu yang terpalit dengan skandal 1MDB.

“Bila dia jadi PM kita ada Covid dan PKP (perintah kawalan pergerakan)

“Dia tiada perancangan dan kemudian bergaduh (berebut kuasa dengan Ahli Parlimen BN) sebelum dia jatuh,” katanya.

Pada penghujung Februari 2020, beberapa Ahli Parlimen PKR yang diketuai oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali bergabung dengan Bersatu, Barisan Nasional dan PAS merencana Langkah Sheraton bagi menumbangkan kerajaan PH yang baru berkuasa selama 22 bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.