
Saarani yang kekal bertanding di DUN Kota Tampan buat penggal kelima merujuk kepada calon PN Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang melompat ke Bersatu selepas menang di kerusi itu atas tiket BN pada PRU14.
“Dalam PRU14, dalam kertas undi bukan ada gambar Hamzah Zainudin, orang bukan undi Hamzah tetapi undi BN. Calon itu hanya wakil saja.
“Jadi bila dia menang, dia telah mengkhianati kepercayaan pengundi, pengundi undi dacing (lambang BN) bukan kerana dia,” katanya kepada media selepas melawat tiga DUN di bawah Parlimen Larut – Batu Kurau, Kubu Gajah dan Selama.
Katanya, Hamzah jelas telah mengkhianati mandat yang telah diberikan pengundi kepadanya.
“Mereka undi dacing dan harap wakil rakyat itu ikutlah (parti) tetapi oleh kerana wakil rakyat itu lupa diri yang dia wakil BN, sampai hati dia mengkhianati kita dan melompat parti.
“Kalau seorang pemimpin, seorang wakil rakyat boleh mengkhianati partinya, tak mustahil dia boleh mengkhianati rakyatnya,” katanya.
Sorakan katak, parti katak dan pengkhianat dilaungkan terhadap Hamzah ketika beliau selesai menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon Parlimen Larut semalam.
Bagaimanapun, setiausaha agung Bersatu itu ketika ditemui berkata sorakan “katak” dilemparkan kepadanya langsung tidak memberi makna kerana pengundi tempatan lebih mengetahui apa yang telah dilakukannya di kawasan itu.