Parti pembangkang tiada visi jelas majukan Sarawak, kata Fadillah

Parti pembangkang tiada visi jelas majukan Sarawak, kata Fadillah

Rakyat boleh lihat siapa yang benar-benar melaksana untuk negeri ini, GPS atau pembangkang, kata naib presiden PBB itu.

Naib Presiden PBB Fadillah Yusof menyifatkan GPS sebagai pembela hak Sarawak dan MA63. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Parti pembangkang di Sarawak tidak mempunyai perancangan jelas untuk membantu negeri itu maju, menurut Fadillah Yusof, naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau berkata, pembangkang mempunyai “hal yang tidak selesai” kerana gagal menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

“Begitu banyak perkara yang mereka janjikan tetapi apabila mereka memerintah selama 22 bulan (di Putrajaya), mereka tidak dapat menunaikan janji kepada negeri ini.

“Sebagai contoh, mereka berjanji 50% daripada cukai yang dikutip dari negeri akan dikembalikan kepada negeri, berserta 20% royalti (minyak),” katanya.

Beliau membandingkan prestasi pakatan pembangkang dengan prestasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah Sarawak, dianggotai PBB dan beberapa parti kecil.

“Saya rasa rakyat boleh lihat siapa yang benar-benar melaksana untuk negeri ini, GPS atau pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH). GPS telah membuktikan dirinya,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Pada PRU15, Fadillah akan mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya.

Beliau berkata, GPS mempunyai objektif yang jelas untuk Sarawak, merangsang ekonomi dan kewangan negeri sambil meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat.

Beliau turut menyifatkan GPS sebagai pembela hak Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ada isu tertunggak yang ingin ditangani gabungan itu, katanya.

“Sepanjang dua tahun lepas, (di tengah-tengah wabak Covid-19) Sarawak membelanjakan kira-kira RM6.8 bilion untuk membantu rakyat. Ini termasuk subsidi sewa dan menanggung sepenuhnya kos kuarantin untuk orang Sarawak yang pulang ke negeri ini,” katanya.

“Sekarang dalam era pasca-Covid-19, ada strategi yang jelas – kami mahu beri tumpuan kepada tenaga bersih. Kami (antara) pengeluar kuasa hidro terbesar. Kini, kami sedang mengkaji hidrogen, dengan negara seperti Korea dan Jepun, malah Jerman turut berminat untuk menjalin kerjasama.”

Memenangi semula hati pengundi Bidayuh

Fadillah berkata, GPS dan PBB khususnya telah berusaha untuk memenangi semula hati pengundi Bidayuh sejak PRU 2018, apabila sokongan komuniti itu beralih kepada pembangkang.

Baginya, punca utama parti itu kehilangan sokongan Bidayuh ketika itu adalah mereka tidak berpuas hati dengan pemilihan calon di kawasan tertentu.

“Orang parti semua turun padang untuk melibatkan diri dengan rakyat bagi memahami isu sebenar dan mengapa mereka tidak menyokong PBB,” katanya, sambil menambah bahawa peluang parti itu untuk memenangi semua kerusi majoriti Bidayuh agak cerah kali ini.

Tiga kerusi Parlimen majoriti Bidayuh terdiri daripada Serian, Puncak Borneo dan Mas Gading, yang hanya satu dimenangi GPS ketika masih dalam Barisan Nasional (BN).

Walaupun GPS dapat mengekalkan Serian, Puncak Borneo (sebelum ini dikenali sebagai Mambong) dan Mas Gading masing-masing jatuh ke tangan PKR dan DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.