Annuar, Noh pemimpin ‘giant’ kekal setia walau gugur, kata Shahril

Annuar, Noh pemimpin ‘giant’ kekal setia walau gugur, kata Shahril

Calon BN bagi Alor Gajah itu berkata Annuar Musa dan Noh Omar telah membuktikan kesetiaan dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kehendak individu.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata, Annuar Musa dan Noh Omar bukan ‘calang-calang orang’ yang digugurkan namun mereka tetap setia dengan parti.
ALOR GAJAH:
Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan memuji sikap berjiwa besar dua bekas Ahli Parlimen ‘giant’, Annuar Musa dan Noh Omar, yang digugurkan sebagai calon, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, kedua-dua mereka telah membuktikan kesetiaan dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kehendak individu.

“Kesempatan ini, saya melahirkan penghargaan kepada mereka yang tidak buat begitu (tanding tiket parti lain selepas tak dicalonkan semula) khususnya kepada Annuar, Noh Omar yang mana dalam kekecewaan mereka…kita lihat betapa mereka adalah orang parti, saya di sini sebagai ketua penerangan Umno sebenarnya terpanggil untuk melahirkan penghargaan.

“Saya harap suatu hari nanti bila saya lebih dewasa saya boleh mencontohi tindakan sebegitu meletakkan parti di hadapan, berbanding cita-cita peribadi dan individu. Ini dua ‘giant’ bukan calang-calang orang yang tidak dinamakan sebagai calon tetapi mereka tetap setia dengan parti,” katanya.

Shahril yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Alor Gajah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, malam tadi.

Mengulas tindakan bekas wakil rakyat Umno yang bertanding atas tiket parti lain, beliau berkata, keahlian mereka secara automatik gugur.

Ditanya, tindakan BN menerima bekas wakil rakyat PAS bertanding atas tiket gabungan itu, Shahril berkata, ia merupakan keputusan dan strategi parti.

Annuar dan Noh antara beberapa bekas wakil rakyat digugurkan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen pada PRU15.

Ditanya peluang menang di Alor Gajah sebagai calon bukan anak tempatan, Shahril berkata ia bukan masalah besar memandangkan beliau kerap turun ke Melaka termasuk di Parlimen itu, ditambah pula ahli keluarganya berasal dari Melaka, selain pernah membesar di negeri berkenaan.

“Mereka (Calon PN dan PH) ada banyak bertemu dengan rakyat memang cabaran untuk saya, saya hadir sebagai orang baharu dalam kawasan Alor Gajah, saya harap mesej saya dan tawaran kempen saya dapat menggamit hati pengundi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.