Zuraida gembira ‘rai demokrasi’ persaingan 9 penjuru di Ampang

Zuraida gembira ‘rai demokrasi’ persaingan 9 penjuru di Ampang

Zuraida yang pernah menyandang kerusi itu selama tiga penggal berkata PRU15 menyaksikan pertembungan paling ramai pernah dihadapinya sejak 2008.

Zuraida Kamaruddin berdepan pencabar paling ramai di kerusi Parlimen Ampang termasuk calon Pakatan Harapan, Rodziah Ismail.
AMPANG:
Bekas Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin gembira “meraikan demokrasi” susulan pertembungan sembilan penjuru di kerusi panas itu.

“Saya sangat gembira, alhamdulillah kerana tak pernah Ampang ramai macam ni, maksudnya demokrasi dah matang dalam negara ini,” katanya selepas menyerahkan borang penamaan calon di Dewan Dato Ahmad Razali.

Zuraida yang kini bersama Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan memenangi kerusi itu selama tiga penggal berkata, saingan sembilan penjuru itu antara calon paling ramai pernah dihadapinya sejak 2008.

“Ia sesuatu yang perlu diraikan, saya nak rakyat Malaysia jadi matang.”

Zuraida akan berdepan saingan daripada Rodziah ismail (Pakatan Harapan), Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional), Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Lai Wai Chong (Warisan), Ivone Low Yi Wen (Barisan Nasional) dan tiga calon bebas – Tan Hua Meng, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos serta M Raveendran.

Sementara itu, Rodziah berkata, PH akan cuba merampas Parlimen Ampang daripada Zuraida yang merupakan seorang daripada 10 Ahli Parlimen PKR menyebabkan kerajaan pimpinan gabungan itu tumbang pada 2020 akibat Langkah Sheraton.

“Amanah ini begitu berat, tetapi saya dengan rendah hati mengambil tanggungjawab ini dan insya Allah doakan supaya sepanjang kempen nanti berjalan lancar dan kita dapat buat yang terbaik untuk rakyat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.