
Ketua Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakop berkata, dakwaan lebih 300 ahli Bersatu Bahagian Jasin yang diketuai Ketua Wanitanya, Azalina Abdul Rahman keluar parti hari ini sekadar strategi dan senjata politik parti lawan bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15.
“Kita dalam suasana perang (politik) dan akan ada banyak strategi dari pihak lawan dan kami percaya ini salah satu daripadanya, selain kehendak peribadi tidak berjaya dicapai.
“Ini perkara biasa dalam peperangan. Jadi, kami sebagai ahli Bersatu komited tak hiraukan apa jua serangan dibuat dan tak tergugat, jentera kita sedang bersungguh-sungguh memenangkan calon PN,” katanya di pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya.
Terdahulu, Azalina mengumumkan keluar parti serta-merta kerana hala tuju parti yang didakwanya samar-samar.
Beliau mendakwa Bersatu Bahagian Jasin lumpuh, selepas timbalan ketua bahagian itu, Mustaffar Ahmad dan majoriti ahli jawatankuasanya (AJK) keluar parti, termasuk AJK Wanita Bahagian Jasin dan lebih 300 ahli di bahagian itu akan mengikut jejak pemimpin mereka.
Turut keluar parti ialah Ketua Penerangan Wanita Bersatu Melaka, Rohani Ahmad dan beberapa pemimpin Wanita Bahagian Hang Tuah Jaya.
Rafiq meninggalkan Bersatu pada 30 Okt lalu selepas tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu, walaupun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.
Yadzil turut menyangkal dakwaan Bersatu Melaka, khususnya Bahagian Jasin akan terkubur dan menyifatkan dakwaan Azalina fitnah semata-mata.
Katanya, mereka tidak terkilan dengan tindakan keluar parti itu kerana sebahagian besar daripada individu itu lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding berjuang dengan Bersatu dan PN.
“Kalau ikut apa yang dikatakan, banyak fakta bercanggah. Saya tidak yakin apa dia katakan itu menunjukkan situasi sebenanrya. Sebagai contoh, ketua Pemuda akan ikut sama keluar parti, tapi saya baru dapat panggilan, dia akan terus komited bersama saya.
“Jadi, kalau ikut perlembagaan, tiada istilah terkubur dan kami akan terus bergerak. Pemimpin silih berganti, siapa ingin teruskan perjuangan silakan dan siapa tak mampu ikut arus perjuangan, kami tak halang.”