Calon ‘underdog’ Nur Jazlan mahu rampas semula Pulai sebagai ingatan kepada bapa

Calon ‘underdog’ Nur Jazlan mahu rampas semula Pulai sebagai ingatan kepada bapa

Allahyarham bapa Nur Jazlan, bekas menteri Mohamed Rahmat, memegang kerusi itu dari 1969 hingga 1999, namun kini ia disandang Salahuddin Ayub daripada PH.

Nur Jazlan Mohamed berjalan ke pusat penamaan calon dengan diiringi penyokongnya. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed, yang sebelum ini berkata beliau tidak akan bertanding di Parlimen Pulai di mana beliau kalah pada pilihan raya umum lalu (PRU14), telah mengubah fikiran dan mahu menyahut seruan partinya.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menamakan beliau sebagai calon bagi kawasan itu pada Selasa.

Ini susulan terdapat gesaan daripada pelbagai kumpulan perniagaan dan akar umbi supaya meletakkan beliau untuk merampas kembali kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) yang jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

“Saya nak sahut seruan Umno untuk kembali rampas kerusi yang dipegang BN sejak 1969 itu, termasuk tujuh penggal oleh arwah bapa saya.

“Saya nak menang semula di kerusi itu sebagai ingatan kepadanya, dan untuk parti supaya BN kembali menerajui negara,” katanya kepada FMT.

“Orang Pulai banyak kenangan manis tentang bapa saya kerana beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen mereka selama 30 tahun.”

Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandang Salahuddin Ayub daripada Pakatan Harapan (PH); Nur Jazlan; dan calon PN Loh Kah Yong.

Allahyarham bapa Nur Jazlan, bekas menteri Mohamed Rahmat, memegang kerusi itu dari 1969 hingga 1999.

Abdul Kadir Annuar daripada Umno mengambil alih sebagai Ahli Parlimen sehingga 2004. Nur Jazlan memegang kerusi itu untuk tiga penggal seterusnya sehingga beliau tewas pada PRU14 kepada Salahuddin Ayub.

Pulai ialah kerusi campuran dengan 45% daripada pengundinya terdiri daripada orang Melayu, 40% Cina, 12% India dan 3% lain-lain.

Pada 2018, Salahuddin memperoleh 55,447 undi, dengan Nur Jazlan mendapat 26,523 undi. Calon PAS Mazri Yahya memperoleh 4,332 undi dan calon bebas, Yap Keng Tak memperoleh 591 undi, kedua-duanya hilang wang deposit.

Nur Jazlan, yang juga bekas timbalan menteri dalam negeri, mengakui persaingan itu akan menjadi sukar, terutamanya apabila Salahuddin turut bertanding.

Katanya, beliau pasti akan menjadi calon “underdog” walaupun pernah memegang kerusi itu tiga kali sebelum ini.

“Beginilah, pertarungan pada PRU14 sangat berbeza, dengan pengundi marah kepada kerajaan BN, terutamanya berhubung skandal 1MDB, serta janji-janji PH yang tak munasabah. Sukar untuk atasi kedua-dua isu itu.

“Pada PRU15, rakyat takkan percaya lagi dengan janji-janji sebegitu, dan 1MDB bukan lagi menjadi isu,” katanya.

“(Rakyat) mahukan kestabilan politik dan supaya kenaikan kos sara hidup ditangani. Saya percaya BN boleh mencapainya, tetapi saya tak pandang rendah kepada pesaing saya, siapa pun mereka.”

Nur Jazlan yakin orang Melayu yang memilih PH pada 2018 (semasa Bersatu berada dalam gabungan) akan kembali ke pangkuan BN selepas melihat kekacauan yang tercetus apabila PH memerintah selama 22 bulan, bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad, dan kemudiannya Perikatan Nasional (PN), dengan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

“Saya rasa rakyat sedar bahawa kita tidak boleh buat eksperimen dengan kerajaan dalam iklim ekonomi sekarang, di tengah-tengah cabaran global.

“Kita perlu parti yang berpengalaman untuk memimpin negara dan mengembalikannya ke landasan yang betul,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.