945 calon bertanding PRU15, paling sengit dalam sejarah

945 calon bertanding PRU15, paling sengit dalam sejarah

Ia merangkumi 818 calon lelaki dan 127 wanita berbanding 687 calon pada PRU14 dan 579 calon pada PRU13.

Pakatan Harapan menampilkan 206 calon, tertinggi dalam empat gabungan parti utama, diikuti Barisan Nasional dengan 178 calon, Perikatan Nasional (149) dan Gerakan Tanah Air yang bertanding atas logo Pejuang serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (116).
PETALING JAYA:
Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mencatatkan rekod calon kerusi Parlimen kali ini paling ramai, menjangkau sehingga 945 individu yang menjadikannya pilihan raya umum paling sengit dalam sejarah negara.

Menurut laporan Bernama, jumlah itu merangkumi 818 calon lelaki dan 127 wanita berbanding 687 calon pada PRU14 dan 579 calon pada PRU13.

Proses penamaan calon yang berlangsung dari 9 hingga 10 pagi tadi berjalan lancar, dengan keadaan dilihat kembali meriah seperti sebelum penularan Covid-19, berikutan kemunculan penyokong parti yang bertanding memenuhi 222 pusat pencalonan di seluruh negara.

Bagaimanapun, polis mengesahkan kekecohan berlaku di luar pusat pencalonan Parlimen Tenom, dipercayai selepas pembatalan borang pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh dalam sidang media memaklumkan enam borang pencalonan ditolak dan tiada calon yang menang tanpa bertanding.

PRU15 juga menyaksikan empat gabungan politik, parti serta individu perseorangan bertanding bebas berentap.

Pakatan Harapan (PH) menampilkan 206 calon, tertinggi dalam empat gabungan parti utama, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 178 calon, Perikatan Nasional (PN) (149) dan Gerakan Tanah Air yang bertanding atas logo Pejuang serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (116).

Parlimen Batu di Kuala Lumpur paling mencuri tumpuan dengan pertembungan 10 penjuru, tertinggi di seluruh negara, antara bekas penyandang, bekas timbalan menteri luar serta enam pencabar lain yang termasuk peguam dan pempengaruh media sosial.

Ia disusuli saingan sembilan penjuru di Parlimen Ampang, lapan penjuru (tiga kawasan), tujuh penjuru (lima), enam penjuru (24), lima penjuru (43), empat penjuru (82), tiga penjuru (54) dan satu lawan satu (sembilan).

Dengan berakhirnya proses penamaan calon, beberapa kawasan dilihat menampilkan pertarungan sengit, antaranya Parlimen Tambun dan Bagan Datuk di Perak serta Gombak, Sungai Buloh dan Kuala Selangor di Selangor, yang melibatkan tokoh utama parti politik.

Di Tambun, bekas penyandang yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dicabar Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dan dua yang lain, sementara Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berdepan pertembungan empat penjuru, antaranya dengan bekas ketua penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin di Bagan Datuk.

Di Gombak pula, pertembungan “mentor” dan “protege” menyaksikan bekas penyandangnya, Azmin Ali (PN-Bersatu) berdepan anak didiknya yang juga Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam pertembungan lima penjuru.

Khairy Jamaluddin yang dipertaruhkan BN untuk merampas kerusi Parlimen Sungai Buloh berdepan perlawanan tujuh penjuru, manakala Pengarah Strategi Amanah yang juga bekas penyandang kerusi Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dicabar Tengku Zafrul Aziz (BN) dan dua yang lain.

Proses demokrasi kali ini menjadi medan mencuba nasib bagi 108 calon bebas, dengan Selangor menjadi negeri tumpuan, iaitu 24 calon menggunakan pelbagai logo antaranya gajah, pen, jam loceng, cangkul dan pokok.

Dari segi usia, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, yang mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing di Langkawi dan Gua Musang menjadi calon tertua dengan masing-masing berumur 96 dan 85 tahun, manakala calon termuda ialah calon bebas, Peggy Chaw Zhi Ting, 23, di Tenom, Sabah.

Seramai 21,173,638 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRU15 meliputi 20,905,366 pengundi biasa, 146,737 anggota tentera serta pasangan, 118,794 anggota polis serta pasangan polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 2,741 orang pengundi menetap di luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov, manakala pengundian awal pada 15 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.