
Menteri perpaduan negara itu berkata beliau akur dengan keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti berhubung senarai calon yang diumum gabungan politik berkenaan pada 1 Nov lepas.
Katanya beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bertanding sebagai calon bebas sebaliknya akan turut turun padang bagi membantu BN dalam kempen PRU15.
“Saya bakal turun bantu kawan-kawan lain yang bertanding atas tiket BN, sebagai Wanita BN hati kami besar (terhadap BN),” katanya selepas merasmikan program Galeri Uniti Keluarga Malaysia di Berjaya Times Square di sini hari ini.
Pada pengumuman calon BN Selasa lepas, pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan empat menteri Kabinet BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob termasuk Halimah digugurkan sebagai calon PRU15.
Turut digugurkan Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim (Arau); Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa (Ketereh) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Adham Baba (Tenggara).
Dalam pada itu, Halimah turut menitipkan pesan kepada Mohamed Khaled Nordin yang akan bertanding di Parlimen Kota Tinggi untuk berusaha menambat hati pengundi di kawasan berkenaan.
“Saya yakin pengundi dalam Parlimen Kota Tinggi akan memberi sokongan padu bagi memenangkan calon BN di sana,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian PRU15, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada esok manakala pengundian awal pada 15 Nov ini.