
Khairy, yang dicalonkan BN bagi kerusi berkenaan berkata, gabungan itu telah kehilangan lebih 26,000 undi di kawasan itu semasa pilihan raya umum (PRU) 2018.
“Ini bukan kawasan yang mudah. Ini bukan kempen yang mudah,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan mesra di sini pagi tadi.
Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, parti itu menganggap Sungai Buloh sebagai kerusi “selamat”, dengan 70% pengundinya terdiri daripada orang Melayu.
Mohamad, yang juga timbalan pengerusi BN, turut menafikan dakwaan bahawa keputusan meletakkan Khairy di Sungai Buloh adalah cubaan untuk menamatkan karier politik bekas menteri kesihatan itu.
Terdapat kira-kira 150,000 pengundi di Sungai Buloh, yang menjadi kubu kuat pembangkang dalam tiga PRU sebelum ini.
Pada 2018, R Sivarasa daripada Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi itu dengan majoriti 26,634 undi. Pada PRU 19 Nov ini, beliau tidak diletakkan sebagai calon untuk bertanding di kawasan itu.
Sementara itu, Khairy berterima kasih kepada Rafizi Ramli atas “kerisauan” mengenai karier politiknya, selepas timbalan presiden PKR itu berkata beliau akan diketepikan oleh partinya walaupun menang di Sungai Buloh.
“(Saya ingin cakap) terima kasih kepada kawan baik saya yang mengambil berat tentang masa depan saya. Fokus saya sekarang adalah untuk menang di Sungai Buloh. Itu kewajipan saya.”
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu turut menggesa pemimpin Umno yang digugurkan daripada senarai calon PRU15 untuk kekal bersama parti.
Katanya, ahli politik melalui “turun naik”, sambil menambah, segelintir digugurkan manakala yang lain “dihantar ke tempat seperti Sungai Buloh, seperti saya”.
“Apa yang penting, (kita) kekal bersama parti dan teruskan berkhidmat,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan bekas Ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib dan bekas Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim akan mempertahankan kerusi mereka atas tiket Perikatan Nasional (PN), selepas digugurkan oleh Umno.
Tokoh lain yang turut digugurkan termasuk Annuar Musa (Ketereh), Halimah Sadique (Kota Tinggi), Dr Adham Baba (Tenggara) dan Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar).