Subsidi, jaminan makanan keutamaan kerajaan seterusnya, kata ahli ekonomi

Subsidi, jaminan makanan keutamaan kerajaan seterusnya, kata ahli ekonomi

Negara akan membelanjakan subsidi berjumlah RM77 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah, untuk pelbagai barangan tahun ini.

Dalam Bajet 2023, MAFI diberi peruntukan RM1.8 bilion khusus untuk subsidi dan insentif bagi industri beras dan perikanan.
PETALING JAYA:
Kerajaan selepas ini perlu meneruskan usaha kerajaan terdahulu bagi mengurangkan kos kehidupan dan mengukuhkan jaminan makanan, kata ahli ekonomi.

Pada Julai, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia tahun ini akan membelanjakan jumlah tertinggi dalam sejarah iaitu RM77 bilion, lebih dua kali ganda peruntukan asal sebanyak RM31 bilion.

Cabaran seperti wabak Covid-19, perubahan iklim dan kesan serangan Rusia terhadap Ukraine malah meletakkan lebih banyak tekanan terhadap jaminan makanan negara.

Sebagai respons, kerajaan telah memperkenalkan harga siling fleksibel yang berubah mengikut faktor harga input dan skim pembiayaan bagi petani bernilai RM1 bilion.

“Tidak diragui bahawa subsidi RM77 bilion itu penting bagi membantu rakyat kerana masih ramai yang bergelut (selepas pandemik Covid-19).

“Ia tetap diperlukan (walaupun) masih ada ruang untuk pembaikan dari segi subsidi yang lebih tersasar,” kata Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak kepada FMT.

Barjoyai berkata, beliau berharap kerajaan seterusnya akan meneruskan usaha kerajaan terdahulu, dengan perancangan jangka sederhana dan panjang bagi memacu jaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Dalam Bajet 2023, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diperuntukkan RM1.8 bilion khusus untuk subsidi dan insentif bagi industri beras serta perikanan.

Bagi meningkatkan pengeluaran makanan, Bajet 2023 turut merangkumi perancangan menggunakan sehingga 800 ekar (324ha) tanah terbiar milik Felda, Felcra, Risda dan agensi di bawah MAFI, untuk tanaman makanan.

Profesor ekonomi di Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata, jaminan makanan dan subsidi perlu kekal sebagai antara perkara paling diutamakan negara ini, khususnya memandangkan kesan wabak Covid-19, risiko geopolitik, dan perubahan iklim.

Beliau senada dengan Barjoyai menyokong lebih banyak subsidi bersasar supaya lebih banyak sumber boleh disalurkan ke arah golongan yang paling memerlukannya.

“Kerajaan seterusnya dijangka meneruskan bukan saja pengukuhan jaminan makanan dan rasionalisasi subsidi, malah juga kesihatan awam dan keselamatan sosial,” katanya.

“Golongan miskin dan lemah mengalami kesan teruk akibat wabak dan inflasi yang semakin meningkat, (dan) subsidi yang menyasarkan kumpulan berkenaan penting untuk membantu dalam menghadapi kos sara hidup tinggi serta jurang ketaksamaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.