Nga cadang kerajaan isytihar cuti umum 18 Nov

Nga cadang kerajaan isytihar cuti umum 18 Nov

Ini supaya rakyat mempunyai masa yang cukup untuk pulang ke kampung halaman dan mengundi pada PRU15 keesokan harinya, kata pengerusi DAP Perak itu.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mempersoalkan mengapa cuti umum tidak diberikan untuk PRU, sedangkan cuti malah diisytihar sempena kemenangan pasukan bola sepak.
PETALING JAYA:
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mencadangkan Putrajaya mengisytiharkan cuti umum khas pada 18 Nov supaya pengundi mempunyai masa yang cukup untuk pulang ke kampung halaman dan mengundi pada hari berikutnya.

“Negara kita dapat cuti khas apabila pasukan bola sepak menang perlawanan, mengapa tidak untuk pilihan raya umum juga?” soalnya pada majlis DAP malam tadi, menurut China Press.

Nga, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan, berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan itu bagi memudahkan rakyat yang menetap di luar negeri untuk mengundi.

Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan pada 19 Nov, dengan pengundian awal ditetapkan pada 15 Nov.

Pencalonan akan berlangsung esok.

Minggu lepas, Gerakan Peguam Muda menyeru firma guaman untuk memberi peguam dan kakitangan cuti sehari pada 18 Nov untuk membolehkan mereka mengundi.

Ia menggesa Badan Peguam Malaysia untuk mendesak firma guaman berbuat demikian, serta meminta badan kehakiman menangguhkan semua kes pada tarikh yang sama.

Katanya, badan itu telah membuat permintaan seperti itu kepada badan kehakiman untuk memberi laluan kepada acara “Walk for Judicial Independence” yang dianjurkannya pada Jun lalu.

PRU15 sepatutnya menjadi alasan yang cukup baik untuk membuat permintaan yang sama, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.