
“Saya rasa jadi tanggungjawab saya untuk pertahankan Gombak di bawah PH dan kembalikan maruah Gombak yang tercalar kerana kita pernah menghantar salah seorang Ahli Parlimen yang menjadi salah satu punca ketidakstabilan politik dan ekonomi dalam negeri dan negara kita,” katanya pada “Himpunan Gombak Bermaruah”.
Amirudin akan berentap dengan Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional dan Megat Zulkarnain Omardin daripada Barisan Nasional di Parlimen Gombak pada 19 Nov ini.
Azmin memenangi kerusi Gombak sejak 2008 atas tiket PKR. Bekas timbalan presiden PKR itu bersama sembilan Ahli Parlimen PKR keluar parti menerusi Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan mentadbir negara.
Sementara itu, Amirudin mengakui beliau mendapat tahu rancangan berkaitan Langkah Sheraton daripada bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.
Katanya, beliau meminta Muhyiddin mempertimbangkan semula keputusannya kerana ia akan menghancurkan perubahan yang sedang dilakukan kerajaan PH ketika itu dan Bersatu akan “musnah” di banyak negeri.
Ini kerana katanya, ketika itu, pemimpin Bersatu merupakan menteri besar Johor, Kedah dan Perak.
“Tapi, kerana kerakusan mereka untuk mendapatkan kuasa di peringkat persekutuan, akhirnya satu persatu negeri tumbang dan kestabilan yang didendangkan mereka tidak ada,” katanya membidas bekas pemimpin PKR yang meninggalkan PH menerusi Langkah Sheraton.
Dalam pada itu, Amirudin mengucapkan terima kasih kepada sokongan pengundi, akar umbi PKR dan PH kerana mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Tua sejak 2008.
“Berdiri kukuh saya pertahankan Gombak dan PH, berdiri kukuh saya pertahankan mandat,” kata naib presiden PKR itu.