Henti buat kenyataan perbincangan PKR, Saifuddin beritahu Rafizi

Henti buat kenyataan perbincangan PKR, Saifuddin beritahu Rafizi

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata bukan semua perbincangan dalaman parti perlu dihebahkan sedangkan itu adalah keputusan parti.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution (kiri) berkata timbalan presiden Rafizi Ramli harus menghormati dan patuh keputusan dibuat parti.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli perlu berhenti membuat kenyataan terbuka mengenai proses pemilihan parti bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution.

“Parti telah buat keputusan. Hormat dan patuh. Elak buat kenyataan tentang hujah, alasan atau siapa di sebalik sesuatu keputusan itu dibuat.

“Calon telah dimuktamad. Itu keputusan bersama. Ini keputusan parti. Tidak semua perbincangan dalaman parti perlu dihebahkan. Proses parti perlu dihormati,” katanya menurut Malaysiakini.

Saifuddin berkata, langkah terbaik buat masa ini adalah memberi fokus kepada strategi untuk menang pada PRU15.

“Meneruskan ke depan dan fokus kepada jentera. Mobilisasi dan menghubungi seramai mungkin pengundi dan memberi mesej yang betul. Masa sudah tidak banyak,” katanya.

Terdahulu, Rafizi mendedahkan beliau mencadangkan penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dikekalkan dan jawatankuasa pencalonan parti juga berpandangan sama disebabkan rekod prestasinya di Parlimen berkenaan.

Tetapi, katanya, Anwar mempunyai pandangan berbeza dan keputusan muktamad terletak pada presiden PKR itu.

PKR menggantikan Sivarasa dengan bekas bendahari agung MIC, R Ramanan.

Mengulas mengenai pertukaran itu, Anwar menjelaskan, Sivarasa digugurkan atas faktor kesihatan yang mungkin memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Pengerusi PH itu dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata, beliau tidak menyalahkan pihak yang mahu Sivarasa kekal di kerusi itu.

Pada pilihan raya umum 2018, Sivarasa memenangi kerusi Sungai Buloh dengan majoriti 26,634 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.