
Menolak dakwaan berat sebelah, pengerusi BN dan presiden Umno itu berkata, pihaknya “sedaya upaya memenuhi permintaan” yang mahu 30% calon adalah wanita.
“Kita cuba penuhi sedaya upaya namun dalam kita cuba penuhi tersebut ada bantahan kalangan pihak tertentu.
“Misalnya ada penyandang, calon lelaki misalnya tidak mahu memberikan laluan tersebut kerana masih mahu bertanding mengekalkan kuasa seperti di Padang Besar, Perlis,” katanya di Facebook.
Penyadang Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin antara menteri dan timbalan menteri yang digugurkan BN dalam PRU15.
Zahidi, bekas timbalan menteri komunikasi dan multimedia mengumumkan untuk mempertahankan kerusi itu tetapi belum memutuskan atas tiket parti mana.
Beliau digantikan oleh Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan.
Pada 2 Okt, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, 30% calon BN pada PRU15 nanti akan diisi calon wanita daripada Umno dan parti gabungan lain iaitu MCA, MIC dan PBRS.
Bagaimanapun, dalam senarai diumumkan Zahid Selasa lalu, hanya 11% adalah wanita menyebabkan ketua wanitanya, Noraini Ahmad semalam berkata, beliau kecewa kerana tidak ramai wanita diangkat sebagai calon seperti dijanjikan sebelum ini.
Ketua Penerangan Wanita Umno, Norshida Ibrahim juga kecewa dengan kekurangan calon wanita dan berkata, BN tidak seharusnya menjanjikan kuota 30% itu jika tiada niat untuk menunaikannya.