
Namun, satu daripada halangan sudah tiada iaitu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang tidak lagi menjadi isu pembangkang pada kempennya.
“Kini kita tidak lagi berdepan isu mega seperti pilihan raya lalu. Beliau (bekas perdana menteri Najib Razak) juga telah dipenjara,” katanya dalam temu bual dengan FMT di pejabatnya di Bangsar baru-baru ini.
Berpegang kepada mesej “kestabilan dan kemakmuran” dibawa BN, Ramlan yang berusia 61 tahun mengharapkan sokongan pengundi Melayu di sekitar Pantai Dalam, Abdullah Hukum, Kerinchi, Taman Bukit Angkasa dan Kampung Pasir.
Bekas pemain bola sepak sekitar 1980 itu turut mendakwa, sokongan pengundi bukan Melayu juga dilihat semakin baik beberapa tahun kebelakangan ini selepas melihat tidak banyak perubahan sepanjang 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Ramai orang kecewa dengan PH kerana mereka membuat pelbagai janji dalam manifesto. Kini, mereka bimbang melihat kepada perkembangan ekonomi.
“Kita berikrar untuk mengembalikan kestabilan ekonomi dan kemakmuran ekonomi,” katanya dengan menambah Johor dan Melaka menikmati pelaburan besar selepas BN menang pilihan raya negeri itu.
BN kali terakhir menang di Lembah Pantai menerusi Shahrizat Abdul Jalil dengan majoriti 15,288 undi. Pada 2008, Nurul Izzah Anwar daripada PKR mengalahkan Shahrizat dengan perbezaan 2,895 undi.
Pada 2013, Nurul Izzah menewaskan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan majoriti lebih rendah iaitu 1,847 undi. Namun Fahmi mengekalkan kerusi itu untuk PKR pada 2018 dengan majoriti 5,598 undi.
Sebagai ahli sukan, Ramlan merancang menyediakan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi di kawasan itu yang diharapkan dapat menarik pengundi muda.