
Santhara akan mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya atas tiket PKR pada pilihan raya umum lalu.
Haniza ialah ADUN Lembah Jaya dan timbalan presiden PBM.
Sebelum ini, Presiden PBM, Larry Sng dilaporkan berkata, beliau akan mempertahankan Parlimen Julau, manakala Zuraida Kamaruddin dilapor akan mempertahankan kerusi Ampang.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata, Sng mungkin mengumumkan lebih banyak calon tidak lama lagi.
Ditanya mengenai kerusi lain, Zuraida berkata, parti itu akan mengumumkan calon bagi dua lagi kerusi Parlimen, tetapi beliau tidak boleh mendedahkan kawasan itu lagi.
Katanya, PBM turut akan mendedahkan calonnya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tronoh dan Malim Nawar di Perak tidak lagi lagi.
PBM akan bertanding menggunakan logo sendiri, selepas Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak menerima penyertaan parti itu.
Zuraida hari ini berkata, PBM akan menyokong mana-mana gabungan yang memenangi PRU15.
PBM, yang memohon menyertai BN pada Julai lalu, mempunyai enam Ahli Parlimen sebelum Parlimen dibubarkan awal bulan lalu.
Sebelum ini, Sng dilaporkan berkata, PBM mungkin tidak mengehadkan kerusi yang dimenanginya pada 2018.
Bekas Ahli Parlimen Julau itu berkata, bukan semua bekas wakil rakyat parti itu akan dicalonkan semula pada PRU15.
Selain Sng, Zuraida dan Santhara, bekas Ahli Parlimen lain ialah Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat), Steven Choong (Tebrau) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu). Mohamaddin bersama Warisan sebelum menyertai PBM.
Pada 20 Okt lalu, sumber dipetik The Vibes berkata, Xavier tidak akan bertanding pada PRU15 kerana mahu berehat daripada politik.