Ismail Muttalib tanding di Maran atas tiket PN

Ismail Muttalib tanding di Maran atas tiket PN

Penyandang Parlimen Maran itu digugurkan BN untuk bertanding pada PRU15.

Ismail Abd Muttalib Ismail memenangi kerusi Parlimen Maran sejak 2004. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib yang digugurkan Barisan Nasional (BN), akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu diumumkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu majlis di Marang, Terengganu malam ini.

Selain Ismail, Hadi turut mengumumkan Shahidan akan mewakili PN di Parlimen Arau pada 19 Nov ini.

Ismail dan Shahidan digugurkan BN pada PRU15. Mereka digantikan Shahaniza Shamsuddin dan Rozabil Abd Rahman di Maran serta Arau.

BN turut menggugurkan Annuar Musa (Ketereh), Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi), Dr Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol), Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Noh Omar (Tanjong Karang).

Ismail memenangi Parlimen Maran sejak 2004. Pada PRU 2018, beliau mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,763 undi, menewaskan calon PAS dan PKR.

Shahidan pula ialah menteri besar Perlis dari 1995 hingga 2008. Beliau yang tidak pernah tewas sejak 1986, memenangi Parlimen Arau pada PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 serta kerusi Dewan Undangan Negeri Tambun Tulang dari 1995 hingga 2008.

Calon PN di Terengganu

PN Terengganu mencalonkan dua muka baharu, iaitu ADUN Bukit Tunggal, Alias Razak daripada PAS di Parlimen Kuala Nerus dan Che Mohamad Zulkifly Jusoh di Parlimen Besut.

Alias berdepan tugas berat merampas Kuala Nerus yang dimenangi bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Khairuddin Aman Razali yang akan bertanding di kerusi itu atas tiket Barisan Nasional pada PRU15.

Gabungan itu turut mengekalkan lima bekas Ahli Parlimennya di Terengganu, iaitu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Shaharizukirnain Abd Kadir, Ahmad Amzad Hashim, Wan Hassan Mohd Ramli dan Che Alias Hamid.

Berikut senarai calon PN bagi kerusi Parlimen Terengganu:

  • Besut – Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PAS)
  • Setiu – Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS)
  • Kuala Nerus – Alias Razak (PAS)
  • Kuala Terengganu – Ahmad Amzad Hashim (PAS)
  • Marang – Abdul Hadi Awang (PAS)
  • Hulu Terengganu – Rosol Wahid (Bersatu)
  • Dungun – Wan Hassan Mohd Ramli (PAS)
  • Kemaman – Che Alias Hamid (PAS)

Pada PRU14 lalu, PAS memenangi enam daripada lapan kerusi Parlimen di Terengganu, manakala Besut dan Kuala Terengganu dimenangi calon BN.

Semua calon PN di Terengganu akan menggunakan logo PAS pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.