Ingatkan pengundi jangan bereksperimentasi, Tok Mat beritahu jentera BN

Ingatkan pengundi jangan bereksperimentasi, Tok Mat beritahu jentera BN

Mohamad Hasan turut mengingatkan supaya jentera parti dapat diurus dengan baik bagi menangkis segala dakwaan parti lawan.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan (tengah) ketika Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan EduCity malam tadi. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya menemui seramai mungkin pengundi dan menyampaikan mesej kepada rakyat mengenai rekod prestasi BN.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata jentera parti juga perlu mengingatkan pengundi supaya tidak bereksperimentasi dengan undi dan memperjudikan masa depan negara seperti yang berlaku pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Temuilah seramai mungkin pengundi di tempat kita. Temuilah mereka dan terangkan kepada mereka (supaya) bagi kami (BN) mandat, bagilah parti yang telah mempunyai rekod prestasi yang baik.

“Rekod prestasi telah terbukti kita dapat menguruskan negara. Cukup-cukuplah membuat eksperimen kerana ia membuatkan kita (rakyat) hidup sengsara pada hari ini,” katanya ketika berucap melancarkan jentera BN Johor di Stadium Tertutup Educity, malam tadi.

Mohamad turut mengingatkan supaya jentera parti dapat diurus dengan baik bagi menangkis segala dakwaan parti lawan.

“(Parti lawan) lagi nak jual temberang di sana sini, (kononnya) dialah yang paling baik menguruskan negara. Untuk BN, tidak perlulah kita bercakap buruk tentang orang, rakyat boleh menilai. Yang penting, kita balik ke kawasan masing-masing selepas ini, urusan jentera perlu (diurus) dengan baik,” katanya.

Mohamad yang juga pengarah pilihan raya BN, turut mengulangi sasaran ditetapkan kepada BN Johor untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15.

Turut hadir Presiden MCA Wee Ka Siong, Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad dan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.