
Dalam manifestonya, PH berkata mereka akan meneruskan usaha mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA)
“Dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran bahasa Melayu di peringkat SPM.
“Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA,” kata PH dalam manifesto mereka.
PH juga akan mengetengahkan timbalan perdana menteri dari Sabah dan Sarawak dalam manifesto itu.
“Untuk memudahcara urus tadbir majlis tersebut, dua timbalan perdana menteri akan dilantik. Seorang dari wilayah Sabah dan Sarawak dan seorang dari wilayah Semenanjung,” katanya.
Gabungan itu juga berjanji jawatan seperti pendakwa raya, ketua polis negara serta jawatan tertinggi dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu disemak oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwipartisan
“Jaminan jawatan akan diberikan kepada individu-individu yang dilantik supaya tempoh perkhidmatan mereka tidak ditamat secara sewenang-wenangnya oleh perdana menteri,” katanya.
PH akan mewajibkan semua menteri, Ahli Parlimen, penjawat awam kanan, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan ahli keluarga terdekat mereka mengisytiharkan harta.
Pakatan itu juga berjanji akan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat dan mengehadkan penggunaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) kecuali terhadap perkara yang berpotensi menggugat keselamatan negara. Klasifikasi hendaklah tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Parlimen dan bukannya budi bicara menteri.
Selain itu, mereka akan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi membolehkan pemberi maklumat mendedahkan penyelewengan secara terus kepada media.
“Pindaan yang dilaksanakan dengan kadar segera akan membentuk sebuah mekanisma kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang boleh merugikan negara boleh disekat di peringkat awal lagi,” katanya.
Mereka turut berjanji meneruskan usaha mengkaji semula konsesi lebuh raya, dengan matlamat akhir memansuhkan tol dan pengembalian Lebuh Raya PLUS kepada milik awam.
Sebagai sebahagian daripada pembasmian kemiskinan, gabungan itu berikrar untuk meneruskan program Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi membantu mengatasi kos sara hidup.
Katanya, sarapan percuma untuk semua pelajar di sekolah juga akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah keciciran di sekolah melibatkan pelajar miskin.
PH juga berjanji untuk menyediakan rumah kos rendah dan sederhana sambil menambah akan mewujudkan lebih banyak klinik kesihatan kerajaan di kawasan berkepadatan tinggi.
Gabungan itu juga akan berusaha meningkatkan makanan sambil menambah akan menjaga kebajikan petani dan nelayan termasuk meningkatkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 pertan.