
Ismail yang merupakan calon perdana menteri BN bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), yakin Reezal yang diumumkan sebagai calon BN di Kepala Batas semalam akan mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga pada 19 Nov ini, berikutan pencapaian cemerlangnya dalam kerajaan.
“Ahli Parlimen ini rajin. Reezal Merican bukan saja cemerlang dari segi Ahli Parlimen, tetapi juga sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Baru setahun lebih memegang jawatan itu, pelbagai program bagi kepentingan rakyat dilaksanakan.
“Kalau dah cemerlang, kita pastikan beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Masjid Bandar Putra Bertam dan Pusat Belia Kepala Batas di sini.
Pada PRU14, Reezal memenangi kerusi Kepala Batas dengan majoriti 4,736 undi, menewaskan calon PKR, Zaidi Zakaria dan Siti Mastura Muhammad (PAS), selepas memperoleh 22,459 undi.
Parlimen Kepala Batas merupakan kerusi legasi bekas perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang dikuasai BN sejak 35 tahun lalu.