
Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata, usaha Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung berdepan ranjau untuk bersaing dengan parti politik terkemuka.
Justeru, beliau berpandangan jika Warisan mampu memenangi mana-mana kerusi ditandingi mereka di Semenanjung, ia bakal menjadi satu pencapaian besar buat parti pimpinan Shafie Apdal itu.
Semalam, Warisan mengumumkan akan bertanding di 26 kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung termasuk meletakkan bekas pemimpin politik daripada MCA dan DAP sebagai calon.
Bekas presiden MCA, Ong Tee Keat serta bekas pemimpin DAP dan PKR, Wee Choo Keong merupakan calon diperkenalkan Warisan bagi mewakili parti itu di Semenanjung.
Sementara itu, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM), melihat pencalonan bekas pemimpin MCA dan DAP sebagai usaha Warisan memberikan saingan di Semenanjung kerana perubahan arus politik sejak 2018.
“Kemampuan calon bergantung kepada keupayaan menggerakkan jentera dan mendekati pelbagai kumpulan pengundi dalam jangka masa 14 hari berkempen,” katanya kepada FMT.
Pencalonan bekas pemimpin MCA dan DAP itu, menurut Tony pula dilihat mampu memberikan nilai tambah kepada Warisan bagi bersaing di Semenanjung.
Menurutnya, ini kerana Ong dan Wee sudah mempunyai pengikut setia mereka sejak sekian lama.
“Namun, faktor itu (pengikut setia) bukan satu jaminan kemenangan untuk mereka,” kata Tony.