Annuar Musa tak tubuh parti baharu, kata pembantu

Annuar Musa tak tubuh parti baharu, kata pembantu

Pembantu Annuar Musa berkata, ahli politik itu menubuhkan sebuah NGO, selepas tangkap layar butiran pertubuhan bernama Muafakat Nasional dalam pangkalan data JPPM tular.

Seorang pembantu Annuar Musa berkata, ahli politik itu menubuhkan NGO, bukannya parti politik baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pembantu Annuar Musa menyangkal spekulasi ahli politik Umno itu menubuhkan parti baharu menjelang PRU15.

Setiausaha Akhbarnya, Tun Faisal Ismail Aziz memberitahu FMT, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu sebenarnya menubuhkan sebuah NGO.

Penafian ini selepas tangkap layar butiran sebuah pertubuhan bernama Muafakat Nasional dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) tular. Tangkap layar itu memaparkan Annuar disenaraikan sebagai presiden pertubuhan itu.

Di Facebook, Annuar yang tidak tersenarai sebagai calon BN pada PRU15 berkongsi tangkap layar sijil pendaftaran Muafakat Nasional, senarai ahli jawatankuasa, lambang, dan kemeja-T.

“Biarpun terbuang, harus kekal sebagai pejuang yang terbilang,” katanya di laman sosial itu.

Beliau seterusnya menulis, “masih ada landasan untuk terus berkhidmat atas jalan kebaikan dan kebajikan, terutama mengajak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah”.

FMT sedang mendapatkan komen Annuar.

Kebetulan, Muafakat Nasional merupakan nama pakatan antara Umno dan PAS yang dibentuk selepas PRU14. Nasib pakatan itu menjadi persoalan susulan perselisihan antara kedua-dua parti berkaitan Bersatu.

PAS dan Umno akan bertembung sebagai lawan pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.