Subsidi telur ayam naik 2 sen berkuat kuasa hari ini

Subsidi telur ayam naik 2 sen berkuat kuasa hari ini

Berikutan itu kadar subsidi telur ayam di peringkat ladang berubah daripada 8 sen sebiji kepada 10 sen sebiji.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa berkata setakat September tahun ini kerajaan meluluskan peruntukan RM1.2 bilion untuk subsidi ayam dan telur ayam. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Kerajaan bersetuju menaikkan kadar subsidi bagi telur ayam gred A, B, dan C sebanyak 2 sen berkuat kuasa hari ini, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Annuar Musa.

Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata berikutan itu, kadar subsidi telur ayam di peringkat ladang berubah daripada 8 sen sebiji kepada 10 sen sebiji supaya harga kawalan runcit kekal bagi telur gred A, B, dan C.

Beliau berkata, setakat September tahun ini, kerajaan meluluskan peruntukan RM1.2 bilion untuk subsidi ayam dan telur ayam bagi mengawal harga bahan mentah berkenaan kepada pengguna.

“Dengan peningkatan subsidi yang diputuskan, dianggarkan subsidi ayam dan telur ayam untuk tempoh Oktober hingga Disember tahun ini ialah kira-kira RM600 juta,” katanya pada sidang media khas.

Beliau berkata, subsidi tambahan itu dijangka memberi manfaat kepada 338 ladang ayam ternakan bagi memastikan bekalan telur di pasaran lebih konsisten dan stabil.

“Kos pengeluaran ayam dipercayai meningkat selaras kenaikan kos input semasa selain kawalan harga yang berpanjangan menjadi faktor gangguan pasaran serta bekalan di peringkat pengeluaran.

“Oleh itu, jumlah subsidi sebanyak RM1.136 bilion telah diluluskan hingga 31 Okt lepas dengan melibatkan seramai 13,440 permohonan subsidi ayam dan telur ayam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.