Naib presiden keluar parti tamparan bagi Bersatu, kata penganalisis

Naib presiden keluar parti tamparan bagi Bersatu, kata penganalisis

Keputusan Rafiq Naizamohideen keluar parti dikatakan menjadi petunjuk Bersatu sedang goyah.

Rafiq Naizamohideen yang juga ketua bahagian Bersatu Tangga Batu kecewa kerana tidak dibenarkan bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU15.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis menyifatkan tindakan Naib Presiden Bersatu Rafiq Naizamohideen keluar parti sebagai “tamparan” kepada kepimpinan parti, terutama menjelang pilihan raya umum (PRU15) yang semakin hampir.

Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir, berkata peletakan jawatannya menunjukkan sebilangan penyandang jawatan tidak lagi yakin dengan parti.

“Mereka jelas kecewa dengan kepimpinan. Ini tidak bagus untuk Bersatu yang sudah dianggap sebagai antara parti paling lemah,” katanya kepada FMT.

Pada Ahad, Rafiq yang juga ketua bahagian Bersatu Tangga Batu berkata, beliau kecewa kerana tidak dibenarkan bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU15.

Rafiq sebelum ini ialah pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu Melaka tetapi meletak jawatan selepas gagal memenangi kerusi Telok Mas pada pilihan raya negeri (PRN) November 2021.

Sementara Perikatan Nasional (PN) masih belum mengumumkan calonnya, PAS Melaka semalam berkata, mereka akan meletakkan calon bagi kerusi Parlimen Tangga Batu dan Jasin pada PRU15.

Jeniri turut menyifatkan keputusan Rafiq keluar pada masa yang begitu genting sebagai “mementingkan diri sendiri”.

“Jika beliau seorang pemimpin, beliau akan kekal (dalam parti) dan berjuang untuk kepentingan parti,” katanya.

Beliau menjangkakan keadaan Bersatu akan menjadi lebih buruk menjelang PRU15.

Parti itu hanya boleh menjangkakan memenangi lima hingga enam kerusi, mustahil untuk membentuk kerajaan, kata Jeniri.

Pada 2018, Bersatu bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad memenangi 13 kerusi Parlimen sebagai komponen Pakatan Harapan (PH).

Selain jentera akar umbi yang lemah, Bersatu juga tiada faktor penarik kerana Mahathir bukan lagi presidennya, menurut Jeniri.

“(Mahathir) ada karisma. Selain itu, pada 2018, mereka berkempen mengenai isu seperti skandal 1MDB, tuduhan rasuah Rosmah Mansor dan sebagainya. Kini, mereka tidak mempunyai isu besar lagi,” katanya.

Jeniri berkata, Bersatu bakal berdepan cabaran sukar memandangkan kedudukan parti itu tidak menentu.

Sementara itu, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pemergian Rafiq tidak akan menjejaskan peluang Bersatu pada PRU kerana bukan beliau pesaing “hebat”.

“Bagaimanapun, melihat kepada gambaran yang lebih besar, peluang parti itu pada PRU15 akan terjejas apabila ia bertembung dengan Barisan Nasional (BN) dan PH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.