Mahu tanding untuk penggal ke-8, veteran PBB Rohani dijangka hadapi tentangan

Mahu tanding untuk penggal ke-8, veteran PBB Rohani dijangka hadapi tentangan

Rohani Abdul Karim menyatakan hasratnya untuk mempertahankan kerusi Batang Lupar kepada Pengerusi GPS Abang Johari Openg, menurut sumber.

Timbalan Ketua Wanita PBB Rohani Abdul Karim berkhidmat selama empat penggal sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar sejak 2004. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Timbalan Ketua Wanita PBB Rohani Abdul Karim mungkin berdepan tentangan dalam usahanya untuk bertanding bagi penggal ke-8 di Parlimen, menurut sumber Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sumber itu berkata, Rohani, yang berkhidmat empat penggal sebagai Ahli Parlimen Batang Lupar sejak 2004, memberitahu Pengerusi GPS Abang Johari Openg mengenai hasratnya untuk mempertahankan kerusi itu.

“Beliau bertemu dengannya (Abang Johari) dan menawarkan diri untuk bertanding di Batang Lupar bagi satu penggal lagi,” kata sumber itu kepada FMT.

“Bagaimanapun, beliau diberitahu perkara itu boleh ‘dibincangkan’. Pertemuan itu hanya berlangsung selama kira-kira 10 minit.”

Sumber itu juga berkata, pengundi di Batang Lupar berminat untuk diwakili calon yang lebih muda kali ini, tanpa mengira jantina.

Rohani, 67, sebelum ini dipilih menjadi Ahli Parlimen Santubong sebanyak tiga kali dari 1990 hingga 2004.

Beliau kemudian dicalonkan bertanding di Batang Lupar pada 2004 yang dimenanginya tanpa bertanding. Beliau dipilih semula pada 2008, 2013 dan 2018.

Muka baharu di Batang Sadong?

Sumber itu berkata, pengundi di kawasan berdekatan, Batang Sadong, mungkin akan melihat muka baharu sebagai calon PBB.

Kawasan itu diwakili Nancy Shukri, 61, selama tiga penggal sejak 2008.

Timbul spekulasi bahawa Nancy akan menggantikan Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Santubong.

Wan Junaidi sebelum ini menyatakan hasrat tidak mempertahankan kerusi itu selepas lapan penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Wan Junaidi, 75, menjadi Ahli Parlimen Santubong selama empat penggal sejak 2004, dan sebelum itu, Ahli Parlimen Batang Lupar dari 1990 hingga 2004.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.