
Hakim Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul berkata, pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti permohonan yang difailkan Ling Yang Ching dan Wong Ong Hua.
Kedua-duanya ditahan oleh Bukit Aman pada 14 Sept 2020 selepas kerajaan Amerika Syarikat memohon ekstradisi mereka.
Kerajaan AS mahu Ling dan Wong menghadapi tuduhan di daerah Columbia kerana didakwa menjalankan operasi penggodaman global untuk mencuri identiti dan teknologi permainan video, menanam perisian tebusan dan mengintip aktivis Hong Kong.
Prosiding ekstradisi itu dibawa ke Mahkamah Sesyen yang pada awal tahun ini membenarkan permohonan kedua-dua individu itu untuk merujuk soalan perlembagaan kepada Mahkamah Tinggi.
Zaini diberitahu hari ini bahawa Ling dan Wong juga telah memfailkan saman di bahagian sivil Mahkamah Tinggi untuk mencabar Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi 1992 juga atas dasar ia bercanggah dengan perlembagaan.
Seksyen 4 memperkatakan kuasa menteri dalam negeri untuk mengarahkan ekstradisi suspek bagi menghadapi tuduhan jenayah di negara yang memohon ekstradisi.
Menurut Seksyen 20, mahkamah mesti meletakkan suspek bawah tahanan sementara menunggu perintah menteri untuk menyerahkannya.
Ling dan Wong mendakwa Seksyen 4 dan 20 melanggar beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh kebebasan asasi individu dan kuasa kehakiman.
Ditanya oleh Zaini mengenai status saman itu, peguam ahli perniagaan terbabit, Tey Jun Ren berkata, percubaan kerajaan untuk membatalkannya telah ditolak oleh hakim perbicaraan Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
“Tiada rayuan (yang dikemukakan oleh kerajaan),” katanya.
Zaini kemudian bertanya sama ada terdapat “kependuaan prosiding” kerana terdapat dua prosiding berasingan di hadapan dua hakim berbeza sementara menunggu keputusan mencabar Seksyen 4 dan 20.
“Pada fikiran saya, sepatutnya hanya satu mahkamah (yang menentukan keperlembagaan Seksyen 4 dan 20). Bolehkah saya pindahkan perkara jenayah ke mahkamah sivil?” soalnya.
Tey membalas dengan mencadangkan bahawa mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk pemindahan.
Peguam itu juga berkata, Mahkamah Sesyen, yang dijadualkan membuat keputusan mengenai ekstradisi Ling dan Wong, telah memerintahkan penangguhan interim prosiding sementara menunggu pelupusan permohonan di Mahkamah Tinggi.