
Peguam R Kengadharan yang mewakili Syed Iskandar Syed Jaafar berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini.
Syed Iskandar, pengundi di kawasan Pandan, mahu mendapatkan penangguhan pelaksanaan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid minggu lalu, sehingga rayuannya selesai.
Kamal pada 28 Oktober lalu memutuskan pembubaran Parlimen adalah pertikaian yang tidak boleh diadili mahupun dilayan mahkamah. Katanya, keputusan akhir terletak di tangan Agong, dan perdana menteri hanya boleh membuat permintaan supaya Dewan Rakyat dibubarkan.
Kamal turut menolak permohonan Syed Iskandar untuk penangguhan keputusannya itu sehingga rayuan diselesaikan di Mahkamah Rayuan. Syed Iskandar memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu pada hari sama, disusuli permohonan penangguhan dengan sijil perakuan segera semalam.
Secara alternatif, Syed Iskandar turut memohon supaya Mahkamah Rayuan mengubah permohonan itu kepada prosiding rayuan penuh memandangkan beliau telahpun memfailkan memorandum rayuan.
Beliau menamakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, pengerusi SPR, dan kerajaan sebagai responden. Beliau mahu deklarasi bahawa permintaan Ismail, yang dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Okt lepas, adalah terbatal dan tidak berkuat kuasa.
Syed Iskandar berkata, Ismail silap apabila bergantung kepada Perkara 40(2)(b) dan 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menamatkan penggal Dewan Rakyat.
Dia mahu writ larangan menghalang pengerusi SPR, penjawat atau ejennya daripada mengambil langkah menjalankan PRU15.
Pada 10 Okt, Ismail mengumumkan pembubaran Parlimen, bagi memberi laluan untuk pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari.
Syed Iskandar yang juga peguam mendakwa Ismail Ismail melanggar kewajipan fidusiarinya kerana gagal mempertimbangkan kebajikan dan kepentingan golongan miskin yang mengundi.
Katanya, Ismail gagal mempertimbangkan kesan banjir yang mungkin berlaku. Sebaliknya, katanya, perdana menteri itu hanya mempertimbangkan kepentingan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan pertuduhan jenayah.