2 maut, seorang cedera kren runtuh di Perak

2 maut, seorang cedera kren runtuh di Perak

Kemalangan dipercayai akibat kerja pemotongan kren untuk dilupuskan di mana berlaku runtuhan menyebabkan tiga mangsa tersepit.

Bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan bantuan kren bagi memudahkan operasi.
IPOH:
Dua lelaki tempatan maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan runtuhan kren gantri di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima maklumat runtuhan kren yang mengorbankan Abdul Rajim Hasmki, 33, dan Maiyden Asibin, 29, serta Mosed Alinid, 34, yang cedera pada 4.58 petang semalam.

“Kemalangan kren industri berat dipercayai akibat kerja pemotongan kren untuk dilupuskan di mana berlaku runtuhan kren ketika kerja pemotongan dilakukan hingga menyebabkan tiga mangsa itu tersepit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian telah mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan bantuan kren bagi memudahkan operasi.

Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada polis dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital.

“Operasi menyelamat melibatkan 13 anggota bomba dan tujuh anggota polis tamat pada 10.55 malam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.