Tolak PAS tanda Umno kembali sederhana, kata Zaid

Tolak PAS tanda Umno kembali sederhana, kata Zaid

Konsep muhibbah yang diasaskan Tunku Abdul Rahman ialah semangat Malaysia sebenar yang mesti kita tiup semula, kata bekas menteri undang-undang itu.

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata, mandat yang kukuh untuk Umno/BN akan membantu kerajaan seterusnya membanteras pelampau agama dan pengawasan moral.
PETALING JAYA:
Zaid Ibrahim menyeru Umno dan Barisan Nasional (BN) agar memperjuangkan kesederhanaan beragama yang menjadi asas perpaduan negara selama bertahun-tahun sejak kemerdekaan.

“Penting bagi dunia melihat Malaysia sebagai apa yang selama ini diperjuangkan – sebuah negara di mana semua rakyat dari setiap kaum dan kepercayaan berdiri bersama.

“Itulah yang disebut oleh bapa pengasas kita sebagai muhibbah, dan itulah semangat sebenar yang mesti kita tiup semula,” kata bekas menteri undang-undang itu.

Zaid berkata, perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman berulang kali mengingatkan rakyat Malaysia bahawa negara ini hanya boleh maju dan makmur jika kita saling menghormati sesama bangsa, agama dan adat resam.

Rakyat mesti menerima hakikat bahawa setiap antara kita berbeza dan melihat kepelbagaian sebagai kekuatan kita, katanya dalam wawancara dengan FMT.

“Umno sentiasa (memperjuangkan) kesederhanaan, sehingga ia mula terganggu dengan fokus yang diletakkan PAS kepada Islam,” kata Zaid.

Jelasnya, bermula pada era 1990-an, Umno mula meningkatkan tumpuan terhadap agama bagi mengatasi pengaruh parti Islam itu yang semakin besar.

“Kebelakangan ini, dalam usaha meraih undi Melayu, bahkan bekas penyokong Umno seperti Muhyiddin Yassin telah menerima PAS sebagai sekutu politik,” kata Zaid.

Beliau berkata, pendekatan ini menyebabkan negara tergelincir “terlalu jauh ke haluan kanan”, mengakibatkan “wujud pengawasan moral yang terlalu ketat dan peraturan agama berlebihan yang menjangkau kehidupan awam dan peribadi”.

“Sekarang ini, kita lihat kebangkitan rakyat Iran, menentang pencerobohan agama yang melampau oleh kerajaan mereka,” katanya.

“Sebaliknya, kita lihat Arab Saudi menuju kesederhanaan untuk menarik pelaburan dan menjalin hubungan yang lebih baik dengan seluruh dunia.”

Dengan cara yang sama, Malaysia juga perlu memulihkan status sederhananya, kata Zaid.

“Oleh sebab itu, rakyat mesti memandang positif keputusan Umno untuk tidak bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum,” katanya.

“Mandat yang kukuh untuk Umno/BN daripada rakyat akan membantu kerajaan akan datang membanteras pelampau agama dan pengawasan moral.

“Hanya perwakilan Umno/BN yang kuat, disokong oleh kuasa sederhana yang wujud di Sabah dan Sarawak, boleh mengatasi ekstremisme agama.”

Zaid berharap insiden seperti serbuan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) ke atas pesta Halloween pada hujung minggu baru-baru ini dapat dikurangkan.

“Kerajaan akan lebih berkesan dengan mengajar prinsip-prinsip Islam, berbanding menguatkuasakannya dengan undang-undang jenayah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.