
Presidennya, Shafie Apdal berkata, parti itu meletakkan peguam Chen Ket Chuin, 28, di Tawau manakala jurutera kimia Alex Thien, 31, di Sandakan dan penganalisis penyelidikan Amanda Yeo, 29, di Kota Kinabalu.
“Kita letak calon muda yang mempunyai latar belakang yang baik, berpengetahuan dan ‘well exposed’,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam ‘Reset Sabah’ di Likas malam tadi.
“Kita mahu tunjukkan kepada rakyat Malaysia di Sabah bahawa anak muda begini mampu membentuk dasar di Parlimen, beri idea untuk memastikan negara maju.”
Ditanya mengenai cabaran ketiga-tiga anak muda itu dalam merampas kerusi Parlimen yang bukan dimenangi Warisan pada PRU14, Shafie berkata, apa yang penting adalah semua pihak terutama pengundi sama-sama membantu mereka menang demi melaksanakan perubahan untuk negara.
“… Apa yang penting rakyat Malaysia di Sabah mengundi pemimpin yang betul, yang muda supaya jangan hanya panaskan bangku, namanya Ahli Parlimen tetapi tidak lantang bersuara,” katanya.
Sebelum Parlimen dibubarkan, kerusi Tawau disandang oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Christina Liew mewakili PKR, manakala Vivian Wong mewakili DAP di Sandakan dan Chan Foong Hin, juga mewakili DAP, di Kota Kinabalu.