
Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, Wan Junaidi pernah menyuarakan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Santubong, namun beliau (Abang Johari) belum membuat sebarang keputusan.
“Sebab dia nak (tidak bertanding), lagipun dia sekarang dah berusia 77 tahun…dia nak buat perkara lain, tapi dia tetap akan terus beri pandangan kepada kita (sebagai penasihat GPS).
“Dia dah cakap macam tu, nak buat macam mana…saya belum beri keputusanlah,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran jentera Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) PRU15 di sini.
Turut hadir, Timbalan Premier yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Douglas Uggah Embas dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti yang juga Ketua Wanita PBB, Fatimah Abdullah.
Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata, beliau menyerahkan kepada Abang Johari yang merupakan pengerusi GPS dan presiden PBB untuk menentukan masa depan politiknya.
Untuk rekod, Wan Junaidi yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) menyandang kerusi Parlimen Santubong sejak 2004.
GPS yang terdiri daripada empat parti komponen, iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan meletakkan calonnya di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU15.