
Pada PRU lalu, DHPP diberikan tiga kerusi Parlimen dan 18 DUN.
Ketuanya, N Balasubramaniam, berkata hasrat itu selari dengan semangat setiakawan sayap itu dengan PAS kerana DHPP menjadi tulang belakang perjuangan dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti sejak PRU14 lalu.
“Permintaan kami memadai memandangkan Johor dan Melaka sudah mengadakan pilihan raya negeri sebelum ini.
“Terserah pada PAS Pusat untuk menentukan kawasan mana boleh diletakkan calon sayap ini. Kami tetap yakin dan percaya dengan keikhlasan pemimpin PAS yang selama ini menjadi ‘sahabat’ akrab kami yang terdiri pelbagai kaum,” katanya menurut Berita Harian.
Balasubramaniam berkata, sehingga kini seramai 62,768 ahli DHPP seluruh negara memberikan sokongan penuh kepada perjuangan PAS untuk memastikan kemenangan parti di setiap kawasan yang ditandingi pada PRU15 nanti.
“Jika diberikan peluang bertanding atas tiket PAS, kami juga akan berusaha memenangi sekurang-kurangnya satu kawasan Parlimen dan beberapa DUN berasaskan peningkatan sokongan ahli serta bantuan daripada PAS sendiri,” katanya.
Balasubramianiam juga berhasrat mahu meletakkan calonnya sekali lagi untuk bertanding satu kerusi Parlimen dan DUN di Pahang pada PRU15.
“Kita akan berunding dengan PAS Pusat dan Pahang untuk meletakkan calon berkenaan, termasuk di tempat lain. Namun terserah kepada pucuk pimpinan PAS untuk buat keputusan nanti,” katanya.
Pada PRU14, Balasubramaniam bertanding atas tiket PAS di Parlimen Bentong dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon DAP, Wong Tack dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Liow Tiong Lain, namun memperoleh undi terendah.
Seorang lagi ahli DHPP, Kumar Silambaram bertanding di DUN Tanah Rata, juga tewas apabila hanya mampu memperoleh 600 undi berbanding calon DAP, Chiong Yoke Kong yang mendapat 8,821 undi dan calon MCA, Leong Tak Man yang meraih 5,232 undi.
Balasubramaniam yang juga Ketua DHPP Pahang dan Jerantut menyifatkan perancangan PAS untuk meletakkan calon dalam kalangan ahli sayap itu sekali lagi pada PRU15 sebagai satu penghormatan dan semangat setiakawan.
“Kita bersedia menggalas tanggungjawab seperti pada PRU14 lalu jika ahli kami diberi peluang bertanding PRU15. Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang perbincangan atau pengesahan mengenai perkara itu daripada pimpinan PAS,” katanya.