Larry Sng masih presiden PBM, kata JPPM

Larry Sng masih presiden PBM, kata JPPM

Ia berdasarkan rekod yang ada di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPP) selepas dipilih pada Januari lalu.

Ketegangan semakin memuncak dengan perebutan antara Larry Sng dan Zuraida Kamaruddin mengenai jawatan presiden PBM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Larry Sng Wei Shien masih lagi presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) demikian menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), Mohd Nawardi Saad.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, Larry masih presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti.

“Pertikaian mengenai jawatan presiden itu adalah hal dalaman parti dan tidak membabitkan JPPM. Itu hal dalaman parti mereka,” lapor Berita Harian.

“Jika ada pertikaian, mereka kena selesaikan sendiri dan ini tidak membabitkan JPPM.”

Nawardi mengulas krisis dalam PBM selepas dua individu – Zuraida Kamaruddin dan Larry – masing-masing mengisytiharkan presiden parti itu.

Khamis lalu Timbalan Presiden PBM, Haniza Mohamed Talha mendakwa Ahli Parlimen Ampang Zuraida sebagai presiden PBM yang sah selepas diumumkan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia pada 7 Oktober lalu.

Larry pula mendakwa beliau tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai presiden parti itu selain memaklumkan akan bertanding menggunakan logo PBM pada pilihan raya umum ke-15 (PRU) bulan depan.

Beliau menegaskan masih bergelar presiden parti yang sah seperti dalam rekod JPPM yang mana beliau dipilih sebagai presiden pada mesyuarat khas persidangan agung parti itu bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lalu.

Semalam, Larry turut menggantung 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM iaitu Zuraida; Haniza; Daroyah Alwi; Rahimah Majid; Sathiskumar Govindaraju; Muhammad Saiful Bahari Sahari; Na’im Brundage; Abdul Aziz Abdul Kadir; Zakaria Abdul Rahim; Muniraa Abu Bakar; Chua Lian Chye; Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Khamis lalu, Larry mengumumkan penggantungan keahlian Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid daripada parti itu, berkuat kuasa serta-merta.

Majlis Tertinggi parti itu bermesyuarat hari ini di Sarikei, Sarawak memandangkan perkara itu adalah mendesak, untuk membincangkan dan menyelesaikan isu itu dengan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.