Dr M mahu Bersatu keluar PH, tapi ubah fikiran kemudian, kata Muhyiddin

Dr M mahu Bersatu keluar PH, tapi ubah fikiran kemudian, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata, Dr Mahathir Mohamad mengubah fikiran pada saat akhir selepas Majlis Presiden PH memutuskan untuk terus menyokong beliau sebagai perdana menteri.

Muhyiddin Yassin (kanan) berkata, Dr Mahathir Mohamad berubah fikiran untuk Bersatu meninggalkan PH dan cuba meyakinkan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kekal dalam gabungan itu, tetapi gagal.
PETALING JAYA:
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mendakwa bekas pengerusi parti itu, Dr Mahathir Mohamad sebagai individu pertama memulakan langkah untuk Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH), tetapi membuat pusingan U kemudian.

Katanya, Mahathir mengubah fikirannya pada saat akhir, selepas Majlis Presiden PH memutuskan untuk terus menyokongnya sebagai perdana menteri sehingga penggalnya tamat.

PH sebelum ini membuat perjanjian dengan Mahathir bahawa beliau akan berkhidmat sebagai perdana menteri ketujuh selama dua tahun, sebelum memberi laluan kepada Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan.

“Sebelum itu, kalau kita masih ingat, beliau telah didesak beberapa pihak di dalam PH supaya berundur untuk memberi laluan kepada Anwar.

“Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai perdana menteri, beliau cuba meyakinkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu supaya kekal dalam PH. Tetapi, MPT Bersatu hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Bersatu meninggalkan PH pada Februari 2020, susulan Langkah Sheraton dirancang parti itu bersama beberapa Ahli Parlimen PKR yang menyokong Azmin Ali dan Barisan Nasional serta PAS. Ini menyaksikan kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

Muhyiddin kemudian dilantik sebagai perdana menteri kelapan pada Mac 2020.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Bersatu meninggalkan PH kerana merasakan parti itu semakin hilang sokongan orang Melayu, selepas kalah dalam pilihan raya kecil Semenyih dan Tanjung Piai pada 2019, walaupun memenangi dua kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14.

Beliau turut memetik dakwaan kegagalan DAP untuk menghormati sensitiviti orang Melayu dan kepelbagaian kaum di negara ini sebagai alasan Bersatu meninggalkan PH.

Muhyiddin membalas kenyataan Mahathir dalam perhimpunan Gerakan Tanah Air (GTA) di Kedah semalam yang berkata, beliau sedia melupakan “pengkhianatan” Muhyiddin supaya GTA dan Perikatan Nasional (PN) boleh bekerjasama dalam PRU15.

Bagaimanapun, Muhyiddin menolak tawaran itu dan menepis label “pengkhianat” terhadapnya dengan berkata, beliau membawa Bersatu keluar PH demi “agama, bangsa dan negara”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.