Calon Muda dipersoal hantaran lama Twitter dedah sokong BN

Calon Muda dipersoal hantaran lama Twitter dedah sokong BN

Warganet mempersoalkan kesetiaan Danial Abdul Majeed kepada Muda dan pembangkang, selepas hantaran Twitternya dari 2013 muncul semula.

Hantaran Twitter Danial Abdul Majeed berserta gambarnya sebagai calon Muda untuk kerusi Parlimen Kepala Batas.
PETALING JAYA:
Pencalonan Danial Abdul Majeed mewakili Muda di Parlimen Kepala Batas mula dipersoalkan warganet, selepas dua hantarannya di Twitter dilihat menyokong Barisan Nasional (BN) kira-kira sembilan tahun lalu muncul semula.

Dua hantaran itu – yang dimuat naik pada hari pengundian pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei 2013 dan keesokannya mendedahkan Danial menyokong BN ketika itu.

Menurut tweet pertama yang menyerang pembangkang: “Kalau PAS bersatu dengan Umno, aman dah Malaysia ni. Ni PAS bersatu dengan DAP yang nak hancurkan Islam dan Melayu. So sad.”

PAS adalah parti komponen Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP pada PRU13.

Tweet keduanya menyusul kemenangan BN pada PRU13: “Selamanya dan sentiasa menjadi pengundi Barisan Nasional, Insya Allah.”

Kemunculan semula hantaran itu dikritik pengguna Twitter yang mempersoalkan kesetiaan Danial.

“@SyedSaddiq patut pertimbangkan semula pencalonannya. Saya rasa beliau akan kalah teruk. (Sasarkan) kerusi boleh menang dengan calon yang sesuai,” kata @jasonbhlee.

Seorang lagi pengguna, @RaviChander0670 berkata, “Hanya bertanya adakah kamu (Danial) akan setia kepada Muda?”

Sementara itu, @lady_bugg11 berkata, adakah Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memeriksa latar belakang calon partinya sebelum memutuskan mereka layak bertanding pada PRU15.

Tetapi, hantaran itu mendapat respons daripada bekas pemimpin Bersatu, Rais Hussin yang berkata, perubahan pandangan politik Danial patut dialu-alukan.

“Sekiranya seseorang itu tidak berubah selepas menyedari realiti dan kebenaran, itu barulah masalah.

“(Tetapi) Dalam kes ini, beliau mengubah pandangan selepas menemui kebenaran. Baguslah itu! Ia akan memperkuatkan tujuan kita untuk menumbangkan kleptokrat,” kata Rais yang kini bersama PKR di Twitter.

Ketika FMT cuba menghubungi Danial, pembantu peribadinya memberitahu beliau akan menjawab isu itu tidak lama lagi. FMT juga cuba mendapatkan komen Syed Saddiq.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.