BN Johor sasar menang 17 kerusi Parlimen

BN Johor sasar menang 17 kerusi Parlimen

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata beberapa kerusi yang BN tewas pada pilihan raya umum 2018 dijangka mampu dirampas semula, namun beliau tidak memperincikan kawasan terbabit.

Ahmad Maslan berkata Umno pusat menyasarkan menang 20 kerusi Parlimen di Johor pada pilihan raya umum ke-15.
KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) Johor menyasarkan menang sekurang-kurangnya 17 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kurang tiga daripada 20 kerusi yang disasarkan Umno Pusat.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, beberapa kerusi yang BN tewas pada PRU 2018 dijangka mampu dirampas semula, namun beliau tidak memperincikan kawasan terbabit.

Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan sentimen di Johor yang masih kekal seperti ketika BN menang cemerlang pada pilihan raya negeri Johor, Mac lalu.

“Kita harap daripada 26 Parlimen di Johor, pengarah pilihan raya (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan) telah tetapkan (menang) 20 kerusi.

“Tetapi keyakinan peringkat negeri ada angka lain, iaitu 17 kerusi bukan 20 kerusi Parlimen,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan FMT di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.

Pada PRU14, BN hanya menang lapan kerusi Parlimen di kubu kuatnya itu. Kerusi terbabit adalah Sembrong, Pontian, Mersing, Pengerang, Tenggara, Parit Sulong, Kota Tinggi dan Ayer Hitam.

Ahli Parlimen Mersing Abdul Latiff Ahmad bagaimanapun menyertai Bersatu pada Feb 2019. BN kemudiannya menambah satu lagi kerusi apabila calon MCA Wee Jeck Seng menang pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai.

Dalam perkembangan lain, Ahmad enggan mengulas sama ada penggantungan keahlian Ketua Umno Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun yang bermula 1 Okt lalu masih berjalan atau telah ditarik balik.

Bagaimanapun, Ahmad berkata tiada masalah jika Tajuddin mempunyai hasrat mempertahankan Parlimen Pasir Salak pada PRU15.

Persoalan membabitkan status Tajuddin timbul selepas beliau hadir pada majlis bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk pada 18 Okt lalu.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau secara peribadi berpendapat sukar untuk Umno bekerjasama dengan PAS selepas PRU15 kerana parti itu dilihat lebih berminat bersama Bersatu.

“Baru-baru ini Umno tawar salam persahabatan dan tentu ada syarat iaitu syaratnya mereka (PAS perlu) guna lambang PAS dan tinggalkan Perikatan Nasional (PN) kerana Umno tak boleh bersama dengan Bersatu.

“(Tetapi) mereka tolak dan nak bersama dengan parti penuh dengan (Ahli Parlimen) lompat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.