
Beliau berkata, projek LCS masih dalam fasa mobilisasi yang dijangka selesai hujung Disember ini.
“Setahu saya, rundingan dengan pengilang peralatan asal (OEM) dan vendor berjalan dengan baik.
“Kita jangkakan pembinaan akan dimulakan semula pada awal tahun depan,” katanya selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih di sini.

Beliau berkata, fasa mobilisasi yang bermula Jun lalu, melibatkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd yang melaksanakan rundingan bersama OEM bagi menggerakkan kerja pembinaan, apabila berakhirnya fasa mobilisasi.
Syarikat itu, katanya, telah selesai proses rundingan dan dalam proses membentangkan hasil rundingan kepada jawatankuasa pemantauan projek, yang dipengerusikan bersama ketua setiausaha perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan serta ketua setiausaha Kementerian Pertahanan, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
Mengenai kepentingan LCS, beliau berkata, TLDM amat memerlukan aset kombatan bagi menyokong strategi pertahanan maritim negara, justeru dengan meneruskan projek berkenaan, sekali gus akan meningkatkan dan membangunkan keupayaan pertahanan maritim negara.
“Seperti yang umumnya sedia maklum, aset kombatan sedia ada telah berusia serta kos pengoperasian dan selenggaraan semakin meningkat, yang akan menjejaskan tahap kesiagaan TLDM dalam memastikan keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara.
“TLDM tetap konsisten dalam keperluan untuk LCS ini dioperasikan secepat mungkin, seperti yang diluluskan kerajaan sebelum ini,” katanya mengenai status terkini projek LCS.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan sementara, Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata, LCS pertama dijangka siap sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun.
Mengenai cadangan menaik taraf kapal peronda generasi baharu (NGPV), Reza berkata, sebahagian sistem dalam enam kapal yang dibina 10 tahun lalu itu sudah usang, dengan alat gantinya tidak dapat diperolehi di pasaran.
“Tiba masanya untuk kita tukar sistem kapal ini kepada sistem baharu seperti sistem penderia dan persenjataan. Namun, semua proses ini tertakluk kepada peruntukan yang disediakan.”
Bukan saja NGPV, katanya, malah kebanyakan aset TLDM memang perlu dinaik taraf atau membuat perolehan baharu kerana ada yang menjangkau lebih 40 hingga 50 tahun.
“Mereka (anggota) harus cekap dan mahir dalam pelaksanaan tugas atau dengan kata lain, kompeten mengoperasikan peralatan di kapal, namun kecekapan mereka terhad dengan teknologi yang dimiliki kapal TLDM yang rata-ratanya menjangkau usia 40 tahun (dan ke atas).
“Oleh itu, perolehan kapal TLDM baharu amat kritikal bagi melahirkan ‘navy people’ yang kompeten. (Jadi) apa-apa perancangan sekali pun, hendaklah berlandaskan peruntukan.”
Terdahulu, 569 perajurit muda ditauliahkan sijil tamat latihan, selepas menjalani latihan di KD Sultan Ismail sejak 20 Mei sehingga 29 Okt lepas.