
Ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pemuda GPS di Kuching, beliau dipetik Bernama sebagai berkata, Sarawak harus menjadi “jantung” kepada Malaysia kerana ia mempunyai kekuatan mencukupi serta kualiti kepimpinan rakyat yang tinggi.
Malah, katanya, ia pernah berperanan menentukan pemilihan perdana menteri semasa negara mengharungi ketidaktentuan politik, susulan apa yang dinamakan sebagai “Langkah Sheraton”.
GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Mengenai senarai calon GPS yang akan diumumkan 3 Nov nanti, Premier Sarawak itu berkata, ia akan mengetengahkan calon pilihan raya umum ke-15 yang mampu menjadikan GPS sebagai gabungan strategik serta penentu hala tuju politik Malaysia bagi membentuk kerajaan persekutuan yang stabil dan bertanggungjawab.
Katanya, gabungan itu akan memastikan semua 31 calonnya terdiri daripada mereka yang mempunyai semangat “Utamakan Sarawak” bagi menyuarakan agenda dan hak negeri di Dewan Rakyat.
“Kita akan masukkan orang muda, tua, wanita, lelaki serta mereka yang berpengalaman menjadi calon, dan hantar mereka ke Parlimen.”
Beliau berkata, manifesto GPS bagi PRU15 antaranya akan turut menyentuh aspek Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pembaharuan pelan pendidikan dan ekonomi Sarawak.
“Dalam lima tahun ini, GPS telah memainkan peranannya secara bertanggungjawab dan tidak hanya berkisar kepada agenda politik, tetapi kita turut menekankan peranan kita ke arah kestabilan Malaysia.”