
Beliau berkata, usaha membawa pulang jemaah terbabit yang terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak giat dilakukan, termasuk menerusi perbincangan bersama Kedutaan Arab Saudi di sini dan pihak berkuasa di negara itu.
“Mereka ke sana untuk mengerjakan umrah dan saya difahamkan timbul masalah. Bagaimanapun, butiran lengkap akan diumumkan kemudian kerana ia masih dalam rundingan…Cuma saya dapat mengesahkan yang kemungkinan besar kita boleh membawa mereka pulang,” katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota di sini.
Awal bulan ini, Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi kenyataan bersama mengesahkan semua rakyat Malaysia itu terkandas selepas dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah.
Mereka bagaimanapun hanya berada di Madinah dan tidak pernah dibawa ke Mekah untuk menyempurnakan ibadah itu, manakala ketua kumpulan tarekat tersebut diusir kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas, susulan pelanggaran undang-undang tempatan.
Pada sidang media itu, Saifuddin turut memaklumkan lima lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.
Setakat semalam, katanya, Kementerian Luar merekodkan 453 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan itu di Kemboja, Myanmar, Laos serta Thailand, dengan 269 orang daripadanya telah dibawa pulang.
Seramai 52 orang direkodkan masih berada di depot imigresen negara terbabit dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan 132 individu yang belum dapat dijejaki.
Beliau berkata, tujuh rakyat Malaysia yang bekerja sebagai pelabur forex di sempadan Kemboja-Vietnam akan dibawa pulang ke tanah air hari ini.
“Bagaimanapun, mereka tidak dikategorikan sebagai mangsa sindiket kerana mengambil kira mereka bekerja secara sukarela dan bebas keluar masuk dari kawasan tempat kerja.”